Kunjungan TF Rusia kukuhkan hubungan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Hubungan ketenteraan antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia telah diperkukuhkan lagi dengan lawatan Task Force (TF) Armada Pasifik Rusia yang berada di negara ini bermula 3 November lalu hingga hari ini.

Pasukan berkenaan merangkumi kapal-kapal kemegahan misil kruiser ‘Varyag’, kapal anti kapal selam ‘Admiral Panteleev’ dan kapal tangki laut bersaiz sederhana, ‘Pechenga’ yang tiba Pelabuhan Muara pada 3 November lalu.

Pada 4 November, Pemerintah Divisyen Kapal Permukaan, Armada Pasifik Rusia, Kapten Alexander Shwartswas telah mengadakan pertemuan dengan Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji [email protected]

Menurut kenyataan yang diberikan, semasa pertemuan itu, kedua-dua belah pihak mengesahkan semula kepentingan bersama dalam membangunkan kerjasama tentera laut dan membincangkan isu-isu pembangunan lanjut hubungan ketenteraan dua hala dan serantau.

Pada hari sama, kapal Varyag telah dibukakan bagi kunjungan orang ramai di mana para pengunjung berpeluang untuk menaiki kapal perang berkenaan.

Lawatan TF Rusia berkenaan juga menyaksikan majlis resepsi diadakan di atas Varyag yang dihadiri oleh pemerintah-pemerintah tentera laut Rusia dan Brunei, pegawai-pegawai tentera serta atase-atase pertahanan dan ahli-ahli kor diplomatik ke Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis resepsi itu ialah Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman.

Pada majlis resepsi berkenaan, para hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh artis-artis Ensemble Armada Pasifik Rusia sambil menikmati hidangan makan malam.

Kenyataan menyatakan, lawatan TF Rusia berkenaan memberikan dorongan baharu kepada pengukuhan kerjasama dan persahabatan antara Persekutuan Rusia dan Brunei Darussalam.

Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman berjabat tangan dengan Kapten Alexander Shwartswas ketika pertemuan. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan