Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Dengan matlamat untuk mengenali dan mengetahui sejarah Brunei khususnya bagaimana Islam berkembang di negara ini, Kumpulan Isteri-isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan ahli-ahli Bersekutu telah mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Ketibaan rombongan yang diketuai oleh isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Datin Hajah Sapiah binti Haji Sabtu berkenaan dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Salleh.
Rombongan berkenaan diberikan taklimat mengenai dengan latar belakang kedatangan agama Islam ke Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh. Rombongan turut diberikan penerangan mengenai Takapan Batu Nisan, cara-cara menyusun salasilah serta seni khat jawi, sebelum mereka dibawa untuk melawat galeri pameran dan kedai buku di Pusat Sejarah berkenaan.
Lawatan rombongan berkenaan selain daripada untuk mengenali sejarah Brunei, ia juga bermatlamat untuk mengenali, mendapatkan maklumat lanjut serta mengetahui lagi mengenai peranan dan fungsi Pusat Sejarah Brunei.
Menurut rombongan berkenaan, lawatan itu merupakan salah satu kegiatan tahunan mereka bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan serta untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli kumpulan.

