Kuota harian VTL-Land tidak lebih 1,500 orang

KUALA LUMPUR, 24 NOV – Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) antara Malaysia dan Singapura yang akan bermula selari dengan pelancaran VTL-Air (Udara) pada 29 November ini adalah dihadkan kepada pengangkutan bas dengan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, mod pengangkutan lain untuk inisiatif itu akan disenaraikan secara berperingkat manakala jumlah peningkatan kuota harian akan ditingkatkan dari minggu ke minggu.

“Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura,” menurut kenyataan itu.

Kemudahan VTL-Land boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia dan Singapura termasuk penduduk tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Selain itu, mereka juga wajib divaksinasi sepenuhnya manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

Maklumat lanjut mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di laman sesawang https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/. – Bernama