Kuota jemaah haji M’sia dikembalikan kepada asal

TUMPAT, 10 Jan – Kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada jumlah asal iaitu 27,800 orang tahun ini berbanding 22,320 orang sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota berkenaan selepas menarik balik pengurangan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus yang dikuatkuasakan pada 2013 terhadap jemaah asing.

“Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana mengembalikan kuota asal jemaah haji tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 45 surau dan tujuh masjid di Parlimen Tumpat yang terlibat banjir di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah tetapi kerajaan Arab Saudi memberi jumlah kuota asal iaitu 27,800 orang. – Bernama