TEMERLOH, 11 Sept – Syarat mewajibkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus untuk pengimport Bumiputera dijangka dapat memecahkan monopoli kartel daging import, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata, syarat itu juga akan turut dikenakan kepada dua lagi pusat penyembelihan yang bakal menerima kelulusan mengeksport daging ke Malaysia bagi memastikan pengimport Bumiputera turut mendapat peluang dalam perniagaan itu.
Setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kesihatan telah membuat pemeriksaan di beberapa pusat penyembelihan baharu di India sebelum diberi kelulusan berkaitan, katanya.
“Syarat (30 peratus) itu sedang diteliti dan dijangka dapat dilaksanakan memandangkan kelulusan kepada tujuh atau lapan pengeksport daging sudah hampir tamat tempohnya dan perlu diperbaharui.
“Secara dasarnya ia telah dipersetujui dan kita cuma menunggu kelulusan pihak pusat penyembelihan dan Jabatan Veterinar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan ‘Touch Point’ kepada Nelayan Daerah Temerloh di sini, hari ini.
Tajuddin berkata demikian bagi mengulas kewujudan kartel dalam aktiviti import daging yang didakwa menyaksikan penglibatan Bumiputera sebanyak 10 peratus sedangkan Malaysia mengimport daging pada nilai hampir RM2 bilion setahun, kebanyakannya dari India.
Beliau juga mengakui masalah itu berkemungkinan disebabkan oleh sikap pengeksport yang disifatkannya selesa berurusan dengan pengimport bukan Bumiputera yang tidak mahu perniagaan mereka turut terjejas. – Bernama