Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kupas kelebihan Surah Al-Mulk

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Antara kelebihan Surah Al-Mulk ialah dapat memohon syafaat bagi pembacanya sehingga diampunkan dosa pembacanya.

    Ini berdasarkan hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Tarmidzi: “Ada satu surah dalam Al-Quran yang berjumlah 30 ayat di mana surah tersebut akan memintakan syafaat bagi pembacanya hingga dia diampuni. Surah itu adalah ‘Tabarakallazi biadihil mulk’”.

    Dalam hadis yang lain juga, Surah Al-Mulk dinamakan ‘al-maani’ah’ (penghalang) kerana ia menghindarkan pembacanya daripada seksa kubur.

    Penerangan mengenai kelebihan Surah Al-Mulk itu antara pengajaran ayat daripada Tadabbur Surah Al-Mulk yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muhammad Najib bin Haji Awang bagi menyemarakkan Malam Munajat kali ke-110 yang diadakan secara maya.

    Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Program Malam Munajat kali ini turut disertai Persatuan Bahasa Arab Brunei, warga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), belia-belia, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah serta belia Masjid Kampung Sungai Hanching serta penyertaan sebanyak 88 buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama para jemaah yang menyertai Malam Munajat kali ke-110. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Hadir pada program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara itu juga mengundang tetamu khas dari KUPU SB iaitu Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, selaku Ra‘es Persatuan Bahasa Arab Brunei bagi memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau KUPU SB.

    Turut meramaikan ialah warga kerja KHEU, jabatan-jabatan serta institusi pendidikan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

    Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk oleh Pegawai Pelajaran dalam bidang Bahasa Arab, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhamad Adi Adham bin Ramlan selaku Timbalan Setiausaha Persatuan Bahasa Arab.

    Seterusnya Doa Munajat dibacakan oleh Dekan Fakulti Syariah KUPU SB, Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian. Bacaan Zikir Taubat pula dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut, Haji Mohd Rudzaini bin Haji Mohamad yang juga merupakan ahli Persatuan Bahasa Arab.

    Bagi memberkati acara Malam Munajat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Masjid Kampung Sungai Hanching, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda