Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Kupu-kupu raja diancam perubahan cuaca

    SANTA CRUZ, AMERIKA SYARIKAT – Tatkala ribut teruk membadai California, pencinta alam sekitar bimbang akan spesies kupu-kupu raja terancam yang akan menghabiskan musim sejuk di sana sebagai sebahagian daripada pola penghijrahan penuh.

    Serangga dengan sayap berwarna-warni yang terbang jauh sejak beberapa generasi lalu telah dipantau ketat di negeri Amerika Syarikat (AS) itu sejak ia hampir pupus tiga tahun lalu.

    Ketika matahari terbit di ufuk pada satu pagi baru-baru ini, anggota sukarelawan mula mengira kupu-kupu raja, mendapatinya berkelompok di atas pokok sipres dan pokok kayu putih di beberapa lokasi sepanjang pantai California.

    Kupu-kupu berkenaan berkumpul dalam kelompok koloni kelabu sehingga seekor kupu-kupu mengembangkan sayapnya untuk mendedahkan bintik warna jingga yang amat terkenal dalam kalangan spesies itu.

    Pemandangan itu memberikan jaminan kepada Stephanie Turcotte Edenholm, yang mengira lebih daripada 1,000 kupu-kupu raja di sebuah tempat perlindungan di bandar pantai California, Pacific Grove.

    Kupu-kupu raja hinggap di pokok ceri di Pacific Grove, California. – AFP
    Kelompok kupu-kupu raja ketika ia menghabiskan musim sejuk di pokok kayu putih di kawasan dilindungi di Pantai Negeri Natural Bridges di Santa Cruz, California. – AFP
    Sekumpulan pelajar melihat kelompok kupu-kupu raja ketika melawat kawasan dilindungi menggunakan binokular di Santa Cruz. – AFP

    Koleksi kupu-kupu raja awet di Muzium Pacific Grove di Santa Cruz. – AFP
    Kupu-kupu raja kelihatan di pokok ketika ia menghabiskan musim sejuk di Tempat Perlindungan Pacific Grove di Pacific Grove, California. – AFP
    Julie Lorenzen memangkas pokok sej di kebun kupu-kupu raja di Muzium Sejarah Pacific Grove di Santa Cruz. – AFP

    Pendidik itu menghabiskan sepanjang pagi menjelaskan riwayat kupu-kupu kepada pelajar sekolah. Mereka berpeluang menyaksikan puluhan kupu-kupu berterbangan, percaya cuaca sederhana menandakan berakhirnya musim sejuk.

    “Masih terlalu awal untuk serangga menjadi tidak keruan, ia sedang menggunakan simpanan lemaknya untuk musim sejuk,” kata Edenholm.

    Dia juga bimbang kupu-kupu berkenaan akan mengawan dan betina akan terbang mencari tumbuhan lembiaga untuk bertelur. Tumbuhan itu hanya dimakan ulat bulu sebaik sahaja telur menetas, tetapi ia masih terlalu awal pada musim sejuk untuk tumbuhan itu membesar.

    Anggota sukarelawan mengira lebih daripada 330,000 ‘kupu-kupu raja barat’ pada akhir November, menurut kumpulan pemuliharaan Persatuan Xerces.

    Racun perosak dan perubahan iklim

    Angka tersebut memberikan kelegaan berbanding dengan 2,000 kupu-kupu yang dikira pada akhir 2020, dan jumlah menggalakkan yang meningkat daripada 250,000 ekor kupu-kupu yang dikira pada 2021.

    Namun bilangan kupu-kupu adalah jauh daripada jutaan yang diperhatikan pada 1980, disebabkan ancaman termasuk kehilangan habitat, racun perosak dan perubahan iklim, menurut Xerces.

    Kupu-kupu raja ditambah kepada Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi pada tahun lalu dan Xerces telah meminta Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS untuk meletakkan kupu-kupu raja dalam senarai terancamnya.

    Kemasukan tersebut akan membantu pembela kupu-kupu raja menentang pemaju hartanah untuk menebang pokok atau membina rupa bumi yang diperlukan oleh kupu-kupu yang berhijrah.

    Soalan timbul mengenai sama ada melindungi kupu-kupu raja adalah sesuatu bersifat falsafah, memandangkan serangga itu terkenal dengan penghijrahan daripada berperanan mendebungakan tanaman atau bunga, menurut pakar biologi Xerces, Emma Pelton.

    “Kami tidak akan kehilangan tanaman yang ditanam manusia atau tumbuhan liar sekiranya kupu-kupu raja lenyap,” kata Pelton.

    Namun dunia akan kehilangan kupu-kupu ‘yang melakukan penghijrahan yang benar-benar luar biasa, dan orang yang mempunyai ikatan secara emosi dan budaya di seluruh Amerika Utara.’

    Sesetengah spesies kupu-kupu raja terbang beribu-ribu batu, dari Kanada ke Mexico, sementara jangka hayat mana-mana kupu-kupu biasanya diukur dalam masa beberapa minggu.

    ‘Keajaiban’

    Bill Henry masih terkenangkan zaman kanak-kanak di sini yang dipenuhi dengan kupu-kupu.

    “Ia bagaikan sesuatu yang sungguh ajaib dalam dunia semula jadi,” kata Henry, kini Pengarah Kumpulan Ekologi Pantai Groundswell di Santa Cruz, tidak jauh dari Pacific Grove.

    “Ia memberikan satu gambaran, ia sesuatu di mana impian dibentuk.”

    Kupu-kupu raja yang berkembang pesat juga satu petanda terdapatnya pokok lembiaga yang cukup dan habitat di sepanjang koridor penghijrahan yang jauh, menurut Henry.

    “Pokok lembiaga dikaitkan dengan landskap yang sihat, dan ia dikaitkan dengan dataran banjir yang sihat, yang bermakna sungai kami tidak terjejas,” beritahunya kepada AFP.

    “Ia juga bermakna tidak terdapatnya halangan kepada penghijrahan kupu-kupu berkenaan, misalnya kawasan di mana racun perosak membunuh serangga itu digunakan.”

    Pada 2020, kupu-kupu raja yang hampir pupus di pantai barat telah menjadi kempen bagi pencinta alam, daripada tukang kebun yang menanam tumbuhan lembiaga kepada mereka yang menternak kupu-kupu di rumah meskipun amalan tersebut tidak dibenarkan.

    Namun mencari keseimbangan yang betul untuk melindungi alam mempunyai cabarannya yang tersendiri. Misalnya, kupu-kupu raja suka pokok kayu putih yang bukan di California.

    Menebang pokok untuk mengurangkan risiko kebakaran hutan boleh memusnahkan habitat kupu-kupu.

    Kupu-kupu raja yang lenyap dari dunia kami akan ‘menimbulkan keadaan tidak menyenangkan,’ kata remaja Santa Cruz, Brody Robbins, yang ponteng sekolah hanya untuk merakam gambar kupu-kupu dan menganggapnya ‘jauh lebih baik daripada kelas yang belajar ‘Perang Dingin.’ – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...