Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB anjur hari terbuka

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan mengadakan Hari Terbuka selama empat hari bermula esok hingga 28 Februari 2021, bertempat di Kampus KUPU SB.

    Pemangku Pendaftar selaku Setiausaha bagi Jawatankuasa Kerja Hari Terbuka KUPU SB, Haji Sufri bin Kurus memaklumkan perkara itu semasa sidang media yang diadakan di Bilik Himak, KUPU SB, hari ini.

    Beliau mengongsikan bahawa pelbagai program akademik ditawarkan di KUPU SB iaitu pada peringkat ijazah doktor falsafah perguruan agama dan ijazah sarjana perguruan agama dalam pelbagai bidang termasuk Usuluddin, Syariah, Sejarah dan Tamadun Islam, Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan Kajian Ahli Sunnah Waljamaah.

    Bagi Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, KUPU SB menawarkan bidang pendidikan Islam dan pelbagai bidang minor.

    Antara tujuan Hari Terbuka KUPU SB itu adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai dan pelajar-pelajar khususnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai program-program yang ditawarkan dan juga kegiatan akademik serta kokurikulum di serta berpeluang berinteraksi secara langsung bersama pensyarah dan pegawai-pegawai KUPU SB.

    Pengarah Pusat Ilmu Teras selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Terbuka KUPU SB, Awang Kharhan bin Haji Jait berkata, beberapa acara sampingan akan turut diadakan bagi menyerikan Hari Terbuka KUPU SB termasuk pameran kokurikulum pelajar KUPU SB, pameran statik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), ekspo keusahawanan, taklimat I-Usahawanan dan pendidikan keselamatan bomba, bengkel-bengkel kemahiran seperti tip menulis CV dan temu duga, bengkel refleksologi sukan, sukan memanah, dan tayangan filem pelajar KUPU SB serta banyak lagi.

    Sehubungan itu, orang ramai dijemput dan dialu-alukan hadir ke Hari Terbuka KUPU SB dan menyertai acara-acara sampingan yang dianjurkan sepanjang empat hari tersebut.

    Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam selaku Ketua Bahagian Media dan Publisiti bagi Hari Terbuka KUPU SB, Dayangku Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.

    Haji Sufri (tengah) semasa mempengerusikan sidang media mengenai Hari Terbuka KUPU SB yang diadakan di Bilik Himak, KUPU SB, kelmarin. Turut hadir ialah Dayangku Siti Katijah (kiri) dan Awang Kharhan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda