Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KUPU SB
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Majlis Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Majlis Pelantikan MPP baharu diadakan hari ini bertempat di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.
Seramai 56 orang pelajar telah dipilih untuk dicalonkan sebagai ahli MPP baharu bagi sesi 2021/2022.
Calon-calon terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi tahun dua dan tiga Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama sama ada pelajar latihan dalam perkhidmatan ataupun pra perkhidmatan.
Majlis anjuran KUPU SB melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu dihadiri oleh tetamu kehormat, Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan bacaan Asma Al-Husna kemudian diteruskan lagi dengan nyanyian beramai-ramai lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan Yang Di-Pertua Pelajar bagi sesi 2020/2021, Wan Muhammad Zahid bin Metusin, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli persatuan pelajar, MPP sesi 2020/2021 kerana telah berjaya menjalankan beberapa program serta aktiviti dan majlis-majlis di bawah kendalian MPP sepanjang memegang jawatan sesi 2020/202 lalu.
Menurut beliau, pelbagai halangan, cabaran, dugaan, rintangan, kegagalan dan kejayaan telah dihadapi dengan hati yang tabah, minda yang terbuka di dalam menjalankan tugas. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KUPU SB kerana telah memberikan kepercayaan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti mahupun majlis-majlis.
Majlis diteruskan dengan tayangan video dan pengumuman MPP yang baharu.
Yang di-pertua pelajar baharu, Haji Ahmad bin Haji Abas, dalam ucapannya pula menyatakan bahawa mereka akan berusaha untuk membimbing rakan-rakan sejawatan untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik melalui bimbingan dekan pelajar dan pegawai-pegawai yang lain.
Antara pengisian aktiviti yang diadakan adalah pembentangan kunci kira-kira kewangan oleh bendahari MPP sesi 2020/2021; pengumuman ahli-ahli MPP sesi 2021/2022; timbang terima dan penyerahan tugas dan fail kepada wakil Ahli MPP Sesi 2021/2022; dan ucapan pembubaran ahli MPP sesi 2020/2021 dan perasmian ahli MPP sesi 2021/2022 KUPU SB oleh Dr Haji Adanan.
Majlis tersebut bertujuan bagi menjelaskan aliran kewangan persatuan pelajar sebelum pembubaran, di samping mengumumkan pelantikan ahli-ahli MPP yang baru dilantik serta mengongsikan pengalaman dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti sepanjang memegang jawatan.