KUPU SB sertai Mesyuarat AsTEN

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), baru-baru ini, dijemput bagi menghadiri Mesyuarat Presiden Rangkaian Persatuan Pendidikan Guru-guru Asia Tenggara (AsTEN) ke-10 yang telah berlangsung di Dragon Royal Angkor Hotel, Siem Reap, Kemboja.

Hadir bagi pihak KUPU SB ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan turut diiringi oleh Penolong Pensyarah, Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Nazirul Mubin bin Haji Ahad.

Mesyuarat dihadiri oleh ketua-ketua institusi dan perwakilan dari National Institute of Education, Singapura; Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Indonesia; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia; Yangon University of Education, Myanmar; Normal University, Filipina; Kasetsart University, Thailand dan University of Social Sciences and Humanities, Vietnam.

Menurut kenyataan yang diberikan, beberapa agenda yang dibincangkan sepanjang mesyuarat berlangsung termasuk pengubalan ASEAN Teacher Education Quality Assurance Agency, cadangan penerimaan permohonan Mongolia National University of Education menjadi ahli, cadangan Anugerah Pengajaran AsTEN bagi 2020 dan AsTEN Journal of Teacher Education dan cadangan aktiviti bagi 2020.

Dalam mesyuarat tersebut juga, Dr Haji Adanan menyuarakan pelawaan bagi universiti-universiti ahli AsTEN untuk mengadakan program mobiliti pelajar jangka masa pendek ke KUPU SB bagi mendapatkan pengalaman-pengalaman pendidikan perguruan di Negara Brunei Darussalam.

AsTEN merupakan rangkaian institusi pendidikan guru utama negara-negara ASEAN di mana ahli-ahli akan mengerakkan usaha dalam menangani isu, cabaran dan kebimbangan berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru di rantau ASEAN.

Pada masa yang sama, rangkaian berkenaan berfungsi sebagai platform bagi kerjasama dalam usaha memajkukan akademik dan penyelidikan di dalam dan di seluruh institusi ahli yang akhirnya akan memberi manfaat kepada negara dan bangsa ASEAN.

Gambar ramai Dr Haji Adanan bersama perwakilan dari universiti-universiti lain yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – Gambar serahan KUPUSB