KUPU SB tutup Program Dikir Habibi Rasulullah SAW

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Majlis Penutup Program Dikir Habibi Rasulullah SAW yang bertemakan ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’ setelah diadakan selama lapan hari secara berselang seli khas untuk lelaki dan perempuan.

Menurut kenyataan KUP SB, acara secara maya itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Rasul Qudwatuna; 7 Sebab Malaikat Jibril Ingin Menjadi Bani Adam’ petikan hadith dari kitab Al-Minah al-Saniyyah ala-al-Washiyyat al-Matbuliyyah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr Harapandi Dahri.

Dalam tazkirahnya, beliau menjelaskan bahawa malaikat Jibril mempunyai darjat yang tinggi dan merupakan penghulu para malaikat serta bertugas untuk menyampaikan wahyu dari Allah SWT kepada para nabi dan rasul-rasul.

Namun demikian malaikat Jibril ingin sekali menjadi salah seorang bani Adam (Manusia) kerana tujuh perkara. Perkara tersebut, jelasnya, adalah besarnya pahala sembahyang berjemaah; berkumpul bersama ahli ilmu; kebaikan mengunjungi orang sakit; pahala mengiringi jenazah; memberikan minum orang yang ingin minum; mendamaikan orang yang berselisih faham dan memuliakan anak yatim.

Terdahulu, majlis telaj dimeriahkan dengan laungan Dikir Assalamualaika, Bi Shahri Rabi’i dan Asyraqal Badru Alaina serta bacaan Doa Dikir.

Acara diakhiri dengan bacaan Doa Terhindar Daripada Wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan. Kenyataan menyatakan, program berkenaan diadakan bagi menyahut titah seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperbanyakkan program selawat khusus sepanjang bulan Rabiulawal.

Selain itu membawa orang ramai untuk memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW agar mendapat keberkatan dan beroleh syafaat di Akhirat Kelak.

Ia juga diharap akan melahirkan generasi yang menjulang martabat Rasulullah SAW sebagai tauladan dan ikutan sepanjang zaman yang mana meraikan kelahiran baginda bukan saja sebagai tanda cinta malahan penghormatan terhadap Baginda Nabi sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune, mahasiswa Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 2 memimpin bacaan Dikir Assalamualaika semasa majlis penutup itu. – Gambar serahan KUPU SB