Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) muncul juara dalam Kejohanan Futsal Jemputan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 bersempena dengan Festival Konvokesyen UBD 2023 di Kompleks Sukan UBD, kelmarin.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Unit Pembangunan dan Aktiviti Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UBD. Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
KUPU SB menjuarai kategori Pelajar dengan 11 mata. Manakala tuan rumah, UBD mendapat tempat kedua, diikuti Politeknik Brunei (PB) di tempat ketiga. Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) berada di tempat keempat, sementara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) masing-masing mendapat tempat kelima dan keenam.
Bagi kategori Pekerja, UBD muncul juara dengan 13 mata, manakala UNISSA mendapat tempat kedua, diikuti Kementerian Pendidikan di tempat ketiga. KUPU SB berada di tempat keempat, sementara UTB dan IBTE masing-masing mendapat tempat kelima dan keenam.
Anugerah Pemain Terbaik jatuh kepada Abu Sufian bin Haji Adanan (kategori Pelajar) dan Ahmad Hafiz bin Said (kategori Kakitangan), kedua-duanya dari UBD.
Manakala, Anugerah Penjaring Terbanyak jatuh kepada Muhd Aminuddin Shah bin Haji Osman dari KUPU SB (kategori Pelajar) dan Muhd Nur’Naqiuddin bin Haji Osman dari UBD (kategori Kakitangan).
Sementara itu, Noramele bin Haji Yussof dari UBD memenangi Anugerah Pemain Veteran Terbaik dan Haji Ishak bin Haji Ahmad dari Kementerian Pendidikan mendapat Anugerah Penjaring Veteran Terbanyak.