Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    KUPU SB, UNISSA tandatangani MoA

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Fakuliti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di Bilik Taqwa, KUPU SB.

    Menandatangani bagi pihak KUPU SB ialah Pemangku Penolong Ra’es, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh dan bagi pihak UNISSA pula ialah Pemangku Penolong Rektor (Hal Ehwal Akademik), Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim.

    Perjanjian ini meliputi kerjasama dalam bidang penganjuran bersama persidangan dan bengkel, pengajaran dan pembelajaran, kursus-kursus latihan, pertukaran penerbitan dan program kerjasama penyelidikan jurnal Ahli Sunnah Waljamaah.

    Ia turut membabitkan jerayawara pengukuhan kefahaman Ahli Sunah Waljamaah, bantuan teknikal atau latihan serta kerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan bersama.

    Majlis turut diisikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB, Haji Mohd Azmi bin Haji Omar dan Dekan Fakulti Usuluddin UNISSA, Dr Hajah Lily Suzana binti Haji Samsu. Dengan termeterainya perjanjian itu, kedua-dua universiti berharap dapat berganding bahu mencapai matlamat menjelmakan sebuah masyarakat bangsa yang benar-benar berilmu, beramal dan bertakwa mengikut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah dan memperkukuhkan aliran Ahli Sunnah Waljamaah di negara ini.

    Datin Dr Hajah Noor Hira dan Pengiran Dr Hajah Norkhairiah bertukar-tukar dokumen yang telah ditandatangani.
    Penandatanganan perjanjian di antara KUPU SB dan UNISSA.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...