Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kurang bekalan air sukarkan penduduk Mississipi

    JACKSON, MISSISSIPPI – Ibu kota Mississippi bergelut dengan pelbagai masalah air iaitu terlalu banyak air boleh ditemui selepas hujan lebat namun jumlah air yang selamat untuk diminum untuk penduduk tempatan tidak mencukupi.

    Beberapa bahagian di persekitaran Jackson tidak mempunyai bekalan air disebabkan oleh banjir yang memburukkan lagi masalah berpanjangan di salah satu daripada dua loji rawatan air.

    Bandar yang mempunyai 150,000 penduduk itu diletakkan di bawah notis ‘air pengewapan’ selama sebulan selepas Jabatan Kesihatan mendapati air keruh yang boleh menyebabkan masalah pencernaan di kalangan penduduk.

    Seorang pemilik restoran, Derek Emerson memberitahu The Associated Press (AP) bahawa masalah air yang melanda Jackson telah menyebabkan kedai makan yang diusahakannya mustahil untuk dibuka kepada orang ramai.

    Emerson dan isterinya, Jennifer, memiliki Walker’s Drive-In dan dia berkata mereka telah membelanjakan sejumlah AS$300 sehari untuk ais dan air botol bulan lalu.

    Rajwinder Singh, pemilik stesen minyak, memasukkan bekas air minuman yang dibelinya dari Kroger ke dalam kenderaannya. – AP
    Sukarelawan Jabatan Bomba Jackson meletakkan kes air botol di dalam kereta seorang penduduk. – AP
    Pelanggan di Walker’s Drive In disediakan air minuman botol dan ais import. – AP
    Walker’s Drive-In menyediakan botol air minuman dan teh siap sedia akibat masalah sistem air yang berpanjangan. – AP

    “Saya suka menjalankan perniagaan di Jackson, begitu juga dengan penduduknya,” kata Emerson. “Saya hanya tidak suka berhadapan dengan pelbagai masalah yang timbul.”

    Gabenor Mississippi, Tate Reeves berkata dia telah mengeluarkan perintah kecemasan berhubung keselamatan sistem air di Jackson. Kerajaan negeri mengumumkan melalui satu kenyataan mereka berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan mengambil pekerja kontraktor di loji rawatan, yang beroperasi pada kapasiti berkurangan dengan pam sandaran selepas pam utama gagal berfungsi beberapa masa lalu, kata Reeves.

    Sementara itu Datuk Bandar Mississippi, Chokwe Antar Lumumba menjelaskan sistem air Jackson berdepan dengan kesukaran disebabkan oleh kekurangan pekerja dan penyelenggaraan yang tertunda selama beberapa dekad. Dia menambah, kemasukan air daripada hujan lebat mengubah komposisi kimia yang diperlukan untuk rawatan sekali gus melambatkan proses pengaliran air keluar kepada pelanggan.

    Lumumba adalah seorang ahli Demokrat dan tidak dijemput ke sidang media yang diadakan oleh Reeves iaitu seorang Republikan. Walaupun kedua-dua ahli politik itu sering berbeza pendapat namun Lumumba berkata dia sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan dan Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi dan dia memberi penghargaan atas bantuan negeri itu.

    Seperti kebanyakan bandar, Jackson menghadapi masalah sistem air yang tidak mampu diselesaikannya. Asas cukainya berkurangan sejak beberapa dekad yang lalu apabila populasi ibu kota Mississippi itu berkurangan disebabkan oleh pemindahan orang berkulit putih ke pinggir bandar yang bermula selepas sekolah awam diintegrasikan pada tahun 1970.

    Penduduk bandar kini mempunyai lebih daripada 80 peratus berkulit hitam, dengan kira-kira 25 peratus penduduknya tinggal dalam kemiskinan.

    Tekanan air rendah telah menyebabkan beberapa penduduk tidak boleh mandi. Pihak berkuasa juga mendedahkan bahawa tekanan air rendah menimbulkan kebimbangan kepada pihak bomba jika terjadi sebarang kebakaran. Kerajaan negeri juga menasihatkan kepada penduduknya untuk memasak air yang mengalir dari paip bagi membunuh kuman yang boleh menyebabkan mereka sakit.

    Sementara itu, sekolah-sekolah terpaksa mengadakan sesi persekolahan secara dalam talian manakala kedai makan ditutup.

    Universiti Negeri Jackson memperoleh tandas sementara untuk pelajar, sementara jurulatih bola sepak Negeri Jackson Deion Sanders berkata krisis air menyebabkan pemainnya tidak mempunyai penghawa dingin atau ais di kemudahan latihan mereka.

    Dalam video yang disiarkan oleh salah seorang anak lelakinya ke media sosial, Sanders berkata dia mahu memindahkan pemainnya ke hotel agar mereka boleh mandi.

    “Kami akan mencari tempat lain untuk menjalankan latihan iaitu tempat yang boleh menampung setiap benda yang diperlukan dan inginkan,” kata Sanders.

    Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan kerajaan persekutuan bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada Mississipi dalam menghadapi krisis air.

    Dia berkata, kerajaan negeri belum meminta bantuan daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk perkhidmatan trak dalam air minuman, dan enggan menyatakan sebabnya. Jean-Pierre menambah, Rumah Putih berhubung rapat dengan pegawai setempat dan Jabatan Kesihatan Mississippi.

    Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah meluluskan permintaan pengisytiharan kecemasan di Mississippi, serta mengarahkan pentadbirannya untuk menghulurkan bantuan daripada Washington kepada rantau tersebut.

    “Rumah Putih komited untuk membantu penduduk Jackson dan negeri Mississippi dalam menghadapi masa yang sukar ini,” kata Jean-Pierre.

    Masalah di loji rawatan air berlaku selepas bandar itu sebahagian besar-nya berusaha mengelak banjir yang melimpah dari Pearl River yang penuh akibat hujan lebat tanpa henti.

    Sebuah rumah dinaiki air tetapi wakil dari pejabat datuk bandar berkata air tidak naik setinggi yang dijangkakan. Unjuran awal telah menunjukkan kira-kira 100 hingga 150 bangunan di kawasan Jackson mengalami kerosakkan akibat banjir.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, Pearl River memuncak di bawah paras banjir utama 36 kaki. Jackson pernah menyaksikan peristiwa banjir pada 2020 selepas sungai tersebut mencapai paras yang sama. Jackson mempunyai dua buah loji rawatan air dan loji terbesar berada berhampiran takungan yang menyediakan sebahagian besar bekalan air bandar. Takungan juga berperanan dalam mengawal banjir.

    Lumumba berkata minggu lalu bahawa kerja baik pulih sistem air Jackson boleh menelan belanja AS$200 juta. Mississippi menerima AS$75 juta untuk menangani masalah air sebagai sebahagian daripada rang undang-undang infrastruktur.

    Penduduk Jackson, Bernard Smith berkata, dia mengisi bekas dengan air sekiranya rumahnya kehilangan bekalan air. Smith berkata dia berharap Jackson berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan masalah airnya. “Kadang-kadang anda perlu melalui kesukaran untuk kembali ke kapal yang baik,” kata Smith. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...