‘Kurang cemerlang bukan sesuatu perlu dikesali’

Pelakon hebat, Nad Zainal memberitahu keputusan akademik kurang cemerlang bukanlah satu perkara yang perlu dikesali.

Malah menurutnya menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, pelbagai bidang lain boleh diterokai yang memerlukan kemahiran.

“Famili saya tak ada satu pun berdarah seni. Adik-adik, carilah minat anda, gali kelebihan diri.

“Bukan kejar A semata-mata. Tak semestinya tak banyak A tak jadi manusia ya adik? Banyak bidang yang menuntut skil atau kemahiran,” katanya.

Serentak dengan perkongsian tersebut, Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 itu berharap, semoga anak-anaknya, Fahad Ibrahim, 6, Budi Kalsom, 1, bergelar anak seni.

“Saya harap semoga Som (gelaran Budi Kalsom) jadi cef atau pereka fesyen dan Yem (gelaran Fahad Ibrahim) pula jadi pelukis komik atau ahli muzik mungkin, katanya.

Turut berkongsi sekeping gambar ketika zaman remaja, kongsi Nad, cemerlang dalam akademik adalah keutamaannya namun akhirnya terjun ke bidang seni.

“Gadis skema, membaca buku atau baca majalah HYPE dan Utopia sahaja. A sentiasa dalam genggaman. Top skor 10 markah tertinggi sudah pasti.

“Masa ini cita-cita peguam. Macam penternak kucing bukan? Tapi bila 16 tahun jadi kurang bijak akademik, bijak berangan.

“Rupanya… lakonan bidang yang sesuai, industri seni,” katanya. – Agensi

Nad Zainal berharap, semoga anak-anaknya, Fahad Ibrahim, 6, Budi Kalsom, 1, bergelar anak seni. – Agensi