Kurangkan debaran anak ketika melangkah alam persekolahan

SETENTUNYA ramai para ibu bapa yang mula menghantar anak ke sekolah. Bagi yang baru pertama kali pergi ke tadika tentu jelas terasa sangat berdebar-debar dengan perasaannya. Si kecil mungkin sudah sedia maklum sejak lama lagi tentang kemasukan mereka ke sekolah.

Ada kanak-kanak yang teruja dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sekolah tetapi ada juga yang tidak mahu ke sekolah dan akan mula menangis bila sahaja ibu atau ayah menyebut perkataan ‘sekolah’.

Ada bermacam ragam dan gaya si kecil yang kali pertama melangkah ke alam persekolahan.

Sebagai ibu ayah tentu sahaja anda ada cara yang tersendiri untuk memastikan anak tidak menangis atau meraung bila kali pertama ke tadika.

Dalam tempoh seminggu pertama hari sekolah, anda boleh praktiskan beberapa tip yang dikongsikan ini agar dapat mengelakkan anak-anak daripada menangis ketika di hantar ke tadika.

Ibu bapa sentiasa harus bersabar dan memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak agar lebih bersemangat untuk melangkah ke alam persekolahan.
Ibu bapa sentiasa harus bersabar dan memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak agar lebih bersemangat untuk melangkah ke alam persekolahan.

Ambil cuti 

Kalau ini adalah hari pertama anak memulakan alam persekolahan, apa salahnya ibu dan ayah atau salah seorang untuk mengambil cuti.

Sekurang-kurangnya ia adalah sebagai tanda sokongan dengan menghantar anak ke tadika untuk kali pertama.

Bangunkan anak awal pagi dan siapkan sarapan kegemarannya.

Kalau anak masih liat untuk bangun awal, jangan tengking atau marahkan dia. Bersabar dan kejut anak dengan lemah lembut supaya dia tidak akan meragam kelak.

Beri kata semangat

Berikan kata-kata pujian dan semangat kepada anak anda supaya dia tidak meragam semasa ditinggalkan di tadika.

Tunggu sebentar

Si kecil mungkin masih belum biasa ditinggalkan sendirian tanpa ibu atau ayah di sisi.

Jadi apa salahnya untuk menunggu seketika sehingga anak anda benar-benar dapat menyesuaikan diri di tadika.

Jangan tinggalkan dia tanpa memberitahunya.

Yakinkan si kecil yang dia akan gembira untuk belajar bersama kawan-kawannya di tadika.

Jangan lupa tinggalkan pesanan

Terangkan kepada anak yang anda akan kembali mengambil mereka selepas kelas pembelajaran selesai.

Maklumlah jika tidak dipesan bimbang pula anak risau apabila tidak nampak kelibat ibu bapanya di tadika tersebut.

Minta bantuan cikgu

Sekiranya anak anda jenis kuat menangis dan tidak benarkan anda pergi meninggalkannya, eloklah untuk meminta nasihat daripada pihak guru di tadika.

Mungkin pihak tadika boleh cuba memujuk dan menenangkan anak anda atau memberi kebenaran kepada anda untuk menemani anak pada minggu pertama persekolahan.

Tanya pengalaman anak

Sebagai salah satu cara untuk meng-gembirakan anak, jangan lupa untuk mendapatkan maklum balas anak semasa di tadika dengan bertanyakan soalan yang positif seperti “tadi cikgu ajar apa?”, “tadi lukis apa?” dan “ramai kawan tak?”

Secara tidak langsung ia akan dapat merangsang anak untuk seronok bercerita mengenai pengalaman pertamanya di tadika

Semoga dengan cara ini, anak akan lebih bersemangat untuk ke sekolah, ibu dan ayah pun senang hati.