Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kurangkan garam!

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Pengambilan garam yang berlebihan adalah faktor risiko utama bagi tekanan darah tinggi, yang seterusnya membawa kepada terjadinya penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung, buah pinggang, kanser perut dan obesiti.

    Kajian global daripada Lancet mengenai faktor risiko pemakanan yang tidak sihat dan penyumbang kepada kematian mendapati pengambilan garam berlebihan adalah antara faktor risiko kematian bagi lebih kurang dua juta kematian pada 2019.

    Perkara itu didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Pelancaran Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam Negara Brunei Darussalam 2023-2030 yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.

    “Penyakit kardiovaskular seperti strok dan jantung, menjadi penyebab terbesar kematian pramatang di Negara Brunei Darussalam sejak sedekad yang lalu.

    “Hasil dapatan daripada Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2016 menunjukkan 28 peratus kalangan orang dewasa di negara ini mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, yang mana 30.2 peratus penduduk lelaki dan 25.8 peratus wanita.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa Pelancaran Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam Negara Brunei Darussalam 2023-2030.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyaksikan Buku Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam 2023-2030 yang baru dilancarkan.

    “Ini menunjukkan lelaki mempunyai risiko mendapat penyakit kardiovaskular yang lebih tinggi berbanding wanita,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Penyakit tekanan darah tinggi boleh dicegah dengan mengamalkan cara hidup sihat, jelasnya, terutama dengan amalan pemakanan sihat.

    Kajian telah menunjukkan pengurangan pengambilan natrium dalam pemakanan terbukti berkesan sebagai pencegah utama penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit tekanan darah tinggi.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan supaya pengambilan garam bagi seorang individu adalah kurang daripada 5 gram (g) dalam sehari.

    Kajian telah menganggarkan jika seorang individu berupaya untuk mengurangkan pengambilan garam sebanyak 1g dalam sehari, boleh menurunkan tekanan darah dengan purata 2mmHg dan dengan itu, boleh mengurangkan kejadian strok sebanyak 10 peratus dan kejadian penyakit jantung sebanyak 5 peratus.

    “Bukti yang jelas telah menyatakan lebih banyak natrium yang diambil akan menyebabkan tekanan darah akan meningkat lebih tinggi,” jelasnya.

    Beliau seterusnya berkata, hasil dapatan daripada Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2016 juga menunjukkan purata pengambilan garam bagi penduduk Brunei adalah sebanyak 10g sehari iaitu dua kali ganda daripada jumlah yang
    disyorkan oleh pihak WHO.

    “Kaji selidik tersebut juga mendapati penduduk lelaki tempatan mengambil lebih
    banyak garam iaitu sebanyak 11.5g sehari berbanding penduduk wanita sebanyak 8.5g sehari,” ujarnya.

    Selain daripada itu, Yang Berhormat Dato berkata, kajian yang dibuat oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan mengenai produk tinggi natrium di negara ini telah mendapati daripada 1,470 produk makanan yang dijual di negara ini, hanya 806 produk yang memaparkan maklumat mengenai garam pada pek makanan.

    “Daripada 806 produk yang memaparkan maklumat garam tersebut, 411 produk iaitu 51 peratus mempunyai garam yang tinggi.

    “Empat produk makanan yang mempunyai kandungan natrium yang tinggi adalah roti paun, keropok, mi segera dan makanan dalam tin atau paket.”

    Sementara itu, daripada aspek pengambilan makanan tinggi garam pula, beliau menerangkan bahawa tingkah laku penambahan garam semasa memasak, menambah kicap dalam hidangan dan menambah sos cili dan tomato semasa makan adalah antara tabiat di negara ini.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan dasar dan strategi kerajaan adalah diperlukan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan penduduk mengambil makanan berkualiti yang sihat dan berkhasiat termasuk rendah garam.

    Antara langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan pengambilan natrium adalah dengan melaksanakan dasar kerajaan seperti dasar memastikan pengusaha makanan
    menghasilkan produk makanan yang lebih sihat dan berpatutan.

    “Ini termasuklah melaksanakan beberapa dasar awam dalam menjadikan pilihan lebih sihat sebagai salah satu pilihan utama,” tambah beliau.

    Langkah-langkah lain, ujarnya, adalah bekerjasama dengan sektor swasta dalam meningkatkan ketersediaan dan kebolehcapaian produk rendah garam, meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pengurangan garam melalui pemasaran sosial serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan pengurangan garam di sektor awam dan komuniti seperti sekolah, tempat kerja dan komuniti.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...