Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kurangkan plastik sekali guna

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Dianggarkan sebanyak 229,496 tan sisa sampah telah dibuang di tapak-tapak pelupusan negara ini pada 2021, manakala, sisa plastik merupakan jenis sisa kedua terbesar iaitu sebanyak 29 peratus daripada keseluruhan sampah yang dibuang di tapak pelupusan.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa mengongsikan data sisa plastik tahunan mengikut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, kelmarin.

    “Jika senario business-as-usual masih diteruskan, jumlah sisa plastik tahunan yang memasuki ekosistem akuatik boleh meningkat hampir tiga kali ganda daripada 9 hingga 14 juta tan pada 2016 kepada 23 hingga 37 juta tan menjelang 2040,” ujarnya. Manakala itu, dapatan daripada Kempen Kebersihan Senegara Serpihan Laut Coastal Marvel yang dijalankan pada tahun lepas menunjukkan lebih 80 peratus sampah yang dikutip di pesisiran pantai merupakan sisa plastik, yang kebanyakannya adalah botol plastik.

    Tambahnya lagi, isu itu boleh ditangani dengan menerapkan secara kolektif konsep kemapanan ke dalam gaya hidup dengan cara pendekatan seluruh kerajaan dan pendekatan seluruh negara.

    Menurutnya lagi, “Setiap individu mempunyai pilihan untuk memilih produk hijau dan mampan dan beralih kepada tabiat menggunakan barang guna semula dan mengurangkan penggunaan barang plastik pakai buang atau sekali guna.

    Dengan memilih produk-produk seperti itu, jelasnya, ia boleh membantu peralihan kepada ekonomi lebih hijau dan seterusnya menyokong gaya hidup mampan menuju kehidupan yang selari dengan alam semula jadi.

    “Selain itu, dengan mengawal isu penggunaan dengan hanya mengambil apa yang diperlukan untuk mengelak lebihan sisa makanan merupakan salah satu gaya hidup mapan serta boleh mengelakkan pembaziran,” ujar beliau.

    Dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini iaitu Hanya Satu Bumi yang ujarnya selaras dengan slogan Persidangan Stockholm yang antara lain menekankan bahawa bumi merupakan satu-satunya planet yang masih boleh dihuni oleh manusia.

    Bagi sambutan itu, beliau mengongsikan Kementerian Pembangunan akan menyertai Eco Festival bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Di samping itu, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) juga menganjurkan Pertandingan Trash-to-Treasure yang dibukakan kepada orang ramai.

    Maklumat pertandingan itu boleh diperolehi di laman web rasmi www.env.gov.bn atau akaun laman Instagram @jastre.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...