Kurangkan risiko, kenali simptom demensia

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Di Negara Brunei Darussalam, dianggarkan seramai 1,200 orang menghidap penyakit Alzheimer’s dan seramai 2,000 orang menghidap demensia yang mana kebanyakannya belum dikenal pasti.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Unit Geriatrik dan Paliatif, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 2015, sebanyak 36.8 peratus pesakit geriatrik mengalami demensia dan tambahan 20 peratus pesakit geriatrik mungkin mengalami gangguan kognitif yang memerlukan penilaian lebih lanjut sebelum diberikan diagnosis.

Peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit yang tinggi di Negara Brunei Darussalam juga menyebabkan peningkatan kadar pesakit vascular dementia.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Bulan Alzheimer’s Sedunia yang disambut hari ini.

Demensia merupakan kumpulan penyakit berkaitan otak yang boleh menjejaskan ingatan, pemikiran, tingkah laku dan perasaan. Bagi pesakit yang menghidapi penyakit demensia, 90 peratus daripadanya adalah dimensia jenis Alzheimer’s dan vascular dementia.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit yang tinggi di Negara Brunei Darussalam juga menyebabkan peningkatan kadar pesakit vascular dementia.

Tanda-tanda dan simptom demensia termasuk hilang ingatan, kesukaran untuk bertutur dengan betul atau memahami pertuturan orang lain, kesukaran untuk melakukan kerja harian dan perubahan terhadap keperibadian dan perasaan. Setakat ini, tidak ada ubat khusus untuk penyakit demensia, akan tetapi rawatan, nasihat dan sokongan ada disediakan kepada pesakit dan ahli keluarga atau penjaga.

Selaras dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Lakastah bercakap fasal Demensia’, Yang Berhormat Dato menyampaikan beberapa mesej utama dan menyeru semua termasuk ahli keluarga, komuniti dan masyarakat untuk sentiasa berbual mengenai demensia.

Beliau berkata, berbincang antara satu sama lain mengenai cara mengekalkan kesihatan yang baik dan mengurangkan risiko demensia adalah amat penting.

“Berbual mengenai simptom dimensia agar kita mengetahui tanda-tanda yang perlu diperhatikan dan boleh mendapatkan rawatan lebih awal. Sentiasa peka sesama sendiri dalam memastikan keadaan masing-masing,” ujar beliau.

Yang Berhormat Dato juga menyeru supaya mengatasi stigma dan ketakutan terhadap demensia.

Menurut beliau, kurang pengetahuan mengenai dimensia menyebabkan anggapan yang tidak tepat mengenai kesan demensia kepada pesakit dan ahli keluarga serta tanggapan negatif berkaitan tingkah laku pesakit demensia.

Oleh itu, berbicara mengenai demensia dapat membawa ke arah pemahaman dan perancangan yang lebih baik, memperbaiki sokongan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit demensia dan keluarga atau penjaga.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan, penularan wabak COVID-19 telah mengenal pasti kekurangan dalam penyediaan perkhidmatan dan sokongan harian terhadap pesakit demensia.

Amat penting bagi pesakit demensia untuk tidak dike-cualikan secara sosial semasa penularan wabak ini. Oleh itu, keperluan bagi memahami serta mendapatkan maklumat yang tepat, nasihat dan sokongan mengenai demensia adalah penting pada waktu sukar ini.
Kementerian Kesihatan, tekan beliau, akan sentiasa menyediakan sistem kesihatan yang mudah diakses dan saksama serta berkualiti tinggi kepada seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam dalam memastikan semua orang akan memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan.

Kementerian akan memastikan program kesedaran dan intervensi berkaitan demensia akan terus dilaksanakan di pelbagai tempat seperti di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dengan kerjasama Demensia Brunei, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dedikasi terhadap demensia.