Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurikulum Pendidikan Islam baharu bakal di laksana tahun depan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Kurikulum Pendidikan Islam bagi pelajar Tahun 2, 3, 4 dan 5 telah dikemas kini dan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan Januari tahun hadapan. Pelaksanaan kurikulum baharu itu melibatkan semua sekolah rendah kerajaan dan swasta di negara ini, termasuklah sekolah-sekolah antarabangsa.

    Matlamat utama pelaksanaan kurikulum baharu Pendidikan Islam itu adalah untuk membekalkan para pelajar dengan ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah yang kukuh agar mereka menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan berakhlak dengan ajaran-ajaran Islam dan menjadikan Islam sebagai panduan dan pegangan hidup.

    Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh Pengarah Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Muhamad Diah, juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Sukatan Pelajaran dan Penilaian Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum semasa berlangsungnya sesi pembentangan hasil pengemaskinian buku teks Pendidikan Islam Tahun 2 Komponen Akhlak, baru-baru ini.

    “Melalui kurikulum Pendidikan Islam ini, para pelajar akan dikembangkan lagi potensi mereka menjadi individu yang bukan sahaja berpengetahuan dalam bidang ugama, bahkan juga memiliki daya berfikir yang lebih aktif, kreatif dan inovatif agar mereka dapat menjalani kehidupan serta mampu menyelesaikan isu-isu serta cabaran yang mereka hadapi berlandaskan ajaran Islam yang sebenar,” tambahnya.

    Dengan mencapainya satu tahun pelaksanaan Sistem Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum pada 1 November lalu, maka pelaksanaan pengemaskinian mata pelajaran pendidikan Islam itu merupakan antara usaha pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Awang Ali Hamdani dan Haji Ayop semasa sesi pembentangan yang berlangsung baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Pembentangan daripada Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, KHEU. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    PENELITIAN DALAM PENGEMASKINIAN

    Awang Ali Hamdani antaranya turut menjelaskan antara usaha utama pihak Kementerian Pendidikan dan KHEU dalam proses pengemaskinian mata pelajaran Pendidikan Islam bagi pengintegrasian ini adalah mengemas kini Kurikulum Pendidikan Islam dengan mengambil kira keluasan, kedalaman dan kesesuaian bagi memastikan ia selaras dengan peringkat umur pelajar.

    “Alhamdulilah, bermula Oktober 2023, pengemaskinian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam Tahun 2, 3, 4 dan 5 (Sukatan Peralihan) telah dilaksanakan. Sesi sosialisasi Sukatan Peralihan berkenaan telah diadakan pada 23 dan 25 November 2023,” kongsi beliau.

    Dalam masa yang sama juga, jelasnya lagi, pengemaskinian Sukatan Pelajaran Baru Pendidikan Islam Tahun 2, 3, 4 dan 5 dilaksanakan. Jawatankuasa Sukatan Pelajaran dan Penilaian telah melaksanakan dengan meneliti sukatan pelajaran peralihan; membuat tanda aras dengan mengadakan lawatan dalam dan luar negara untuk meninjau amalan terbaik dalam pembinaan kurikulum; menjalankan kaji selidik kepada guru-guru Pendidikan Islam; dan membuat rumusan dan pengesahan sukatan tersebut bersama jawatankuasa pakar.

    Tambah Awang Ali Hamdani lanjut, Jawatankuasa Sukatan Pelajaran dan Penilaian dan jawatankuasa pakar sedang membina dan menyelaras kandungan buku teks Pendidikan Islam (baharu) Tahun 2 dengan menggunakan bahan yang telah dikemas kini oleh Jabatan Mufti Kerajaan untuk digunakan pada tahun 2025.

    “Sosialisasi Kurikulum dan Penilaian Mata Pelajaran Pendidikan Islam Tahun 2, Insya-Allah akan diadakan dalam bulan awal bulan November 2024 bagi semua guru-guru Pendidikan Islam Tahun 2,” ujarnya.

    PELAKSANAAN KURIKULUM BAHARU

    Bagi menjelaskan mengenai bermulanya pelaksanaan kurikulum baharu Pendidikan Islam itu, Pemangku Penolong Pengarah Pengajian Islam (Profesional), KHEU, Haji Ayop bin Haji Ghani, dan juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Sukatan Pelajaran dan Penilaian Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum antaranya berkata kurikulum baharu mata pelajaran Pendidikan Islam akan mula dilaksanakan secara berperingkat bermula pada bulan Januari 2025 iaitu bagi peringkat Tahun 2, diikuti pelaksanaan bagi peringkat Tahun 3 pada tahun 2026, peringkat Tahun 4 pada tahun 2027 dan peringkat Tahun 5 pada tahun 2028.

    “Pelaksanaannya kurikulum baharu ini adalah meliputi semua sekolah rendah kerajaan dan swasta Negara Brunei Darussalam, termasuk sekolah-sekolah antarabangsa,” tambahnya.

    PROSES PEMILIHAN KANDUNGAN

    Menyentuh mengenai proses pemilihan kandungan dalam kurikulum baharu ini dilakukan untuk memastikan ia relevan dengan keperluan pelajar masa kini, Haji Ayop turut menekankan dalam proses pembangunan kurikulum baharu Pendidikan Islam ini, pelbagai perkara telah diambil kira bagi memastikan kurikulum yang dibina ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan beragama murid-murid itu sendiri, tetapi juga untuk ianya bersifat lebih relevan, semasa dan sesuai dengan peringkat umur dan kemampuan kognitif murid-murid yang disasarkan itu sendiri.

    “Proses pembinaan kurikulum baharu ini melibatkan tenaga-tenaga pakar institusi-institusi pengajian tinggi iaitu pihak Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bermula daripada peringkat penyusunan sukatan dan tajuk-tajuk pelajaran lagi. Tujuannya adalah untuk memastikan tajuk-tajuk pelajaran yang ditetapkan bagi satu-satu peringkat pembelajaran itu benar-benar relevan dan sesuai dengan keperluan beragama, keupayaan kognitif dan peringkat umur murid yang disasarkan.”

    “Selain itu, bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan guru-guru, pihak Jawatankuasa Kurikulum dan Penilaian juga telah membuat lawatan pemantauan pelaksanaan kurikulum Pendidikan Islam Tahun 2 hingga 5 ke sekolah-sekolah rendah serta menjalankan kaji selidik secara dalam talian kepada semua guru-guru mata pelajaran Pendidikan Islam,” kongsi beliau.

    Haji Ayob seterusnya menyatakan berdasarkan cadangan sukatan dan tajuk-tajuk pelajaran daripada pakar-pakar yang kemudiannya diselaraskan dengan dapatan-dapatan hasil pemantauan dan kaji selidik yang telah dilaksanakan tersebut, sehingga terbinalah sukatan pelajaran baharu mata pelajaran Pendidikan Islam.

    “Untuk proses pembinaan pengisian kurikulum dan buku teks pula, pihak Jawatankuasa juga telah mendapatkan kerjasama daripada tenaga pakar dari UBD, UNISSA dan KUPU SB untuk meneliti dari segi penggunaan bahasa serta grafik dan ilustrasi buku agar ianya lebih sesuai, relevan dan terkini serta mampu mengembangkan potensi dan daya berfikir murid-murid,” jelasnya lagi.

    Selain itu, Haji Ayob turut menambah pihak Jabatan Mufti Kerajaan Brunei juga terlibat dalam meneliti isi kandungan kurikulum Pendidikan Islam yang baharu ini bagi memastikan segala sumber dan fakta yang dinyatakan adalah tepat, sesuai dan memenuhi keperluan beragama murid dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda