Oleh Nurdiyanah R.
Berpuasa di bulan Ramadan merupakan Rukun Islam ketiga yang wajib dilaksanakan oleh seorang Muslim dengan tujuan utamanya untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Menjalankan ibadat puasa sememangnya dapat melatih kita untuk mengawal segala hawa nafsu serta mendisiplinkan hati dan jiwa agar sentiasa bersabar dan bersyukur. Sebagaimana tidak berlebihan ketika berbuka puasa bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran, tetapi juga untuk menjaga kesihatan badan agar sentiasa bertenaga dan mendapat nutrien yang secukupnya.
Alangkah indahnya bulan penuh kerahmatan ini jika kita mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW, iaitu berbuka puasa dengan kurma dan minum air terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Maghrib. Namun apabila makanan telah dihidangkan di hadapan kita, makanlah dahulu supaya kita dapat solat dengan lebih khusyuk. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat dan jangan kamu tergopah-gapah ketika makan malam kamu.”
Istimewanya buah sunnah miliki khasiat
Kurma adalah sejenis tumbuhan palma atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang masih mentah. Terdapat pelbagai jenis pokok kurma dan kebanyakannya tumbuh subur di negara-negara Arab.
Antara jenis-jenis kurma ialah Ajwa, Medjool atau Majdoul, Safawy, Deglet Nour atau kurma bertangkai, kurma muda atau Rutob, Mabroom dan Sukkary.
Buah kurma yang dikenali sebagai pembuka juadah dalam bulan Ramadan ini mempunyai banyak manfaat untuk tubuh kerana kaya dengan zat-zat penting dan memberikan pelbagai kebaikan dan mencegah penyakit untuk badan kita. Kandungan zat besi yang ada di dalam buah kurma pastinya akan menggantikan zat besi yang hilang di tubuh badan. Selain itu manfaat kurma untuk tubuh lainnya adalah menghilangkan perasaan letih dan lesu dan menjadikan tubuh badan segar dan bertenaga.
Buah kurma juga mampu memelihara dan meningkatkan kesihatan jantung kerana kurma mengandungi vitamin yang banyak dan mineral yang baik untuk jantung.
Selain zat besi, buah kurma juga mengandungi magnesium yang boleh membantu untuk mengurangkan tekanan darah. Buah yang kecil ini juga mampu mengurangkan kadar kolesterol jahat di dalam tubuh.
Manfaat buah kurma bagi tubuh lainnya adalah memperbaiki sel-sel yang rosak. Ia juga baik untuk memelihara dan merawat kulit awda. Kurma juga memiliki kandungan panthothenic yang termasuk dalam kelompok vitamin B yang berfungsi mencegah kerosakan kulit secara efektif. Selain itu, kandungan vitamin C pada kurma boleh mengatasi dua masalah kulit dan mengelak daripada penuaan secara cepat.
Kurma juga bermanfaat untuk mengatasi masalah pencernaan. Kandungan serat dalam kurma yang cukup tinggi dapat membantu memenuhi serat dalam sehari-hari.
Dengan memakan dua biji kurma setiap hari akan melancarkan pencernaan dan menjaga kesihatan sistem pencernaan. Kurma ini juga mengatasi sembelit, cirit-birit bahkan mengurangi risiko kanser usus.
Bukan hanya buahnya saja, manfaat biji kurma juga sangat baik untuk mengatasi rambut gugur. Khasiat biji kurma yang ini sudah lama diketahui dengan hanya perlu mencampurkan biji kurma yang sudah dibersihkan dan dikeringkan kemudian dikisar bersama minyak zaitun. Selepas itu sapukan dan ratakan pada kepala sebelum tidur. Kurma juga mengandungi antioksidan yang melindungi diri daripada radikal bebas dan mempertahankan imun tubuh.
Kebaikan air rendaman kurma
Khasiat buah kurma bukan setakat itu sahaja malah air daripada rendaman kurma yang dikenali sebagai air Nabeez juga memiliki kebaikan yang begitu istimewa jika kita mengamalkannya lebih-lebih semasa bersahur mahu pun berbuka.
Caranya adalah dengan merendam buah kurma dalam bilangan yang ganjil seperti tiga, lima atau tujuh biji dalam 500 mililiter hingga 1 liter air masak pada sebelah malam. Kemudian bolehlah diminum pada waktu sahur pada keesokan harinya.
Manakala antara kebaikannya ialah dapat menyingkirkan toksin dari dalam badan dan meningkatkan tenaga ketika berpuasa di siang hari serta membantu proses percernaan. Begitu juga ia dapat meningkatkan dan menajamkan fikiran.
Kurma kurnia peribadi pemimpin berdaulat
Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT, sebelum menjelang bulan Ramadan, sudah menjadi tradisi rakyat dan penduduk di negara ini khususnya yang beragama Islam akan menerima buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada setiap tahun.
Ini bermakna setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma di mana setiap seorang menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.
Pada tahun ini, sejumlah 156 tan metrik buah kurma jenis Ajwa yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi telah diagih-agihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara secara berperingkat bagi mengelakkan daripada perkumpulan ramai bagi mencegah penularan COVID.
Pengurniaan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan. Pengurniaan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk di negara ini mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda.