Kurnia lencana tentera

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Penutup dan Majlis Penyampaian Lencana Kursus Asas Airborne dan Military Freefall, di Penanjong Garison.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. Manakala Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Kapten (U)Pengiran Muda ‘Abdul Mateen merupakan antara penerima lencana pada majlis itu.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.

Sejurus ketibaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung beredar ke pentas khas untuk menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa barisan Kehormatan Diraja. Kemudian, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan penerjunan payung bebas bagi peserta kursus.

Selesai acara penerjunan payung tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyampaikan lencana Kursus Asas Airborne dan Kursus Military Freefall kepada DYTM Paduka Seri Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan peserta kursus yang lain.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan lencana ketenteraan kepada DYTM Paduka Seri Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen pada majlis penutup dan penyampaian lencana ketenteraan di Penanjong Garison. – Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan ketika berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa cara tersebut.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan menyaksikan pameran.
DYTM Paduka Seri Kapten (U)Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan melakukan aksi penerjunan payung.

Kedua-dua kursus tersebut telah disertai oleh DYTM Paduka Seri Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berserta lapan anggota ABDB, manakala itu, Kursus Military Freefall turut dihadiri oleh empat orang anggota Angkatan Bersenjata Singapura.

Sejurus penyampaian lencana, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menyaksikan pameran statik payung terjun ABDB.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah dan berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Makan, Penanjong Garison.

Kursus Asas Airborne dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Brunei manakala itu, Kursus Military Freefall dikendalikan bersama oleh Rejimen Pasukan Khas, ABDB dan Special Operations Training Support Centre, Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

Kedua-dua kursus berkenaan telah bermula pada 9 September lalu hingga hari ini.