Kurnia nama rasmi jambatan penghubung

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan nama rasmi Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong menjadi Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dalam titah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-74.

Titah Baginda yang disiarkan secara langsung dalam rangkaian televisyen, radio dan atas talian, hari ini, menyebutkan jambatan tersebut telah pun digunakan sebagai kemudahan yang dinanti-nanti dan tidak syak lagi ia merupakan ‘lambang kemodenan’ terunggul bagi Negara Brunei Darussalam.

“Menyebut mengenai ‘lambang kemodenan’ ini, mengingatkan Beta kepada siapa yang telah kita nobatkan sebagai ‘Arkitek Brunei Moden.’

“Lalu dengan ingatan ini telah memberi inspirasi kepada Beta untuk menamakan jambatan ini dengan nama, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien. Semoga dengan menyebut nama ini akan membawa rahmat kepada Baginda,” titah Baginda Sultan.

Bersukut dengan Hari Keputeraan Baginda itu juga, Sistem Kebajikan Negara (SKN) mula dapat digunakan oleh mereka yang berhajat untuk mendapatkan bantuan kebajikan, sama ada melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atau dari Majlis Ugama Islam Brunei.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-74 tahun. – Gambar oleh Infofoto

“Dengan terlaksananya sistem ini, maklumat tentang rakyat dan penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan akan dapat disimpan, sehingga tidak ada lagi mereka yang tercicir, serta sekali gus mengelakkan daripada ketirisan bantuan yang dihulurkan.”

Sistem itu juga akan dijadikan asas untuk membuat perancangan, berupa latihan bagi kebajikan mereka.

Di peringkat serantau dan antarabangsa, titah Baginda, Negara Brunei Darussalam akan mengekalkan hubungan rapat dengan negara-negara sahabat melalui ruang dan peluang memanfaatkan hubungan dua hala dan juga pelbagai hala, khasnya dalam aspek diplomasi dan ekonomi. “Kestabilan di rantau ASEAN, Asia Pasifik, bahkan di peringkat global adalah tujuan yang utama.”

Baginda juga menekankan yang kerajaan akan sentiasa memastikan kesan terhadap harga minyak global yang berada di tahap terjejas dan tidak menentu disebabkan oleh kesan wabak koronavirus terhadap ekonomi itu, tidak akan memberi impak negatif dalam usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik pelabur langsung asing dan sekali gus mengukuhkan lagi status fiskal negara.

“Beta berpendapat, Lembaga Kemajuan Ekonomi di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi adalah tidak wajar bersendirian, tetapi perlu bekerjasama dengan menteri-menteri yang berkenaan dalam usaha menjana ekonomi negara.”

Baginda menjelaskan loji penapisan minyak dan petrokimia di Pulau Muara Besar telah pun mula mengeksport minyak yang dihasilkan di fasiliti berkenaan dan berharap projek berskala besar itu, akan dapat menyumbang kepada peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan sekali gus meningkatkan peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Dalam suku kedua tahun hadapan, loji ammonia dan urea bertaraf antarabangsa pula dijangka akan mula beroperasi di mana loji itu bertempat di Sungai Liang Industrial Park yang dikendalikan oleh Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad.

“Sehubungan itu, Beta telah pun memperkenankan penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam sebagai badan teknikal kepada Kementerian Tenaga untuk memantau operasi minyak dan gas, termasuk mengawal selia sektor huluan dan hiliran.”

Baginda Sultan bertitah selaras dengan perkembangan dan kemajuan zaman, penggunaan platform atas talian (online), termasuk penggunaan Artificial Intelligence dan aplikasi Big Data Analytic telah banyak membantu meningkatkan inovasi dan produktiviti seperti aplikasi BruHealth.

“Maka Beta berpendapat, teknologi digital memang berpotensi tinggi untuk mendorong kemajuan ekonomi negara. Oleh itu pada hemat Beta, adalah tepat pada masanya untuk Negara Brunei Darussalam mempunyai Pelan Induk Ekonomi Digitalnya sendiri.”

Baginda Sultan bertitah, “Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kita memang memerlukan perkhidmatan digital, yang merangkumi pembelajaran, perniagaan dan urus tadbir yang mampu menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai Smart City, di mana untuk itu, Beta telah memperkenankan Pelan Induk Digital Ekonomi 2025 di bawah Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi.”

Berkat kerjasama di semua peringkat kementerian dan sektor swasta, kadar pengangguran pada 2019 adalah menurun di mana melalui Labour Force Survey 2018, kadar pengangguran diketahui 8.7 peratus manakala pada 2019, kadar berkenaan ialah 6.8 peratus.

“Beta yakin, Manpower Planning and Employment Council yang telah ditubuhkan pada bulan November tahun lepas, akan terus berusaha dalam sama-sama membantu bagi anak-anak tempatan mendapatkan pekerjaan.”

Baginda Sultan dalam titah, menyentuh bidang sumber-sumber utama, kerajaan Baginda melalui agensi berkenaan akan terus berusaha ke arah memastikan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi dan terjamin.

Maka untuk itu, Baginda berharap pengusaha, petani, peladang dan nelayan akan mengambil peluang meningkatkan produktiviti masing-masing sebagai langkah mencukupkan keperluan dan keselamatan makanan.

Terdahulu dalam titah Baginda menyebutkan bahawa tahun ini, sambutan terpaksa berbeza, kerana dunia masih saja diancam oleh pandemik koronavirus. Namun kita bersyukur, kerana dengan izin Allah jua, negara kita telah dapat mengawal penularan wabak tersebut.

“Beta sekali lagi mengucapkan syabas kepada seluruh lapisan masyarakat, khasnya para petugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus menghadapi situasi ini.”

Pada masa ini, sekolah-sekolah, gedung-gedung perniagaan, tempat-tempat riadah dan lain-lain telah pun mula dibuka secara berfasa.

Walau begitu, Baginda berharap, masyarakat di negara ini terus mematuhi atau mengikut apa jua arahan dan peraturan daripada pihak berkuasa, khasnya Kementerian Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada mengakhiri titah, Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga perkhidmatan awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan.

Semoga Allah jua yang akan memberkati kita dan negara.