Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
TUTONG, 7 JULAI – Penganugerahan Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara di bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) Bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait serta Penyerahan Anak-anak Kunci Rumah Teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong kepada 446 orang penerima mencerminkan sikap pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda di helipad seterusnya ke majlis penganugerahan dan penyerahan kunci rumah-rumah di Dewan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), Kampung Bukit Beruang, Mukim Telisai telah dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong, Haji Kaharudin bin Mohd Ali, diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Awang Ajmin.
Beliau menyembahkan, “Penggeranan Tanah LTS dan penganugerahan anak-anak kunci rumah ini jelas menggambarkan sifat pemedulian dan keprihatinan Kebawah Duli Tuan Patik terhadap kesejahteraan dan keselesaan hamba-hamba Kebawah Duli Tuan Patik dan dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat.
“Hamba Kebawah Duli Tuan Patik mewakili para penerima penganugerahan, dengan penuh hormat dan takzim, merafakkan sembah menjunjung kasih yang setinggi-tingginya, kehadapan majlis Kebawah Duli Tuan Patik di atas nikmat serta limpah kurnia anugerah Kebawah Duli Tuan Patik yang setentunya menjadi ristaan dan kenangan abadi yang berkekalan kepada para penerima dan keluarga di majlis ini,” sembah Awang Ajmin.
Pada majlis itu, seramai 209 orang menerima Penggeranan Tanah-tanah LTS di bawah Skim Penggeranan Tanah LTS yang mana daripada jumlah tersebut seramai 125 orang dari Daerah Tutong dan 84 orang dari Daerah Belait.
Sementara bagi penerima di bawah RPN Bukit Beruang, seramai 237 orang menerima rumah jenis teres.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Haji Kaharudin.
Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan, Baginda Sultan berkenan melawat PTET di mana Baginda dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Baginda Sultan kemudiannya meneruskan lawatan tidak berjadual ke Sekolah Mene-ngah Sayyidina ‘Othman, Tutong di mana Baginda dijunjung oleh pengetua sekolah tersebut, Dayang Rozieana binti Haji Zini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan berangkat ke rumah penerima rumah teres di bawah RPN Bukit Beruang iaitu Dayang Haryani binti Haji Yahaya dan Awang Mohammad Khairi bin Haji Mahadi.
Sejurus itu, Baginda Sultan juga berkenan berangkat ke Golden Corporation Sdn Bhd di Kampung Penyatang, Mukim Telisai.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; serta Pengarah Urusan Golden Corporation Sdn Bhd, Richard Chuang Hsi Shan; dan Ketua Eksekutif Syarikat Pelaburan Oman Brunei (OBIC), Fathi Al Balushi, rakan kongsi Golden Corporation Sdn Bhd.
Semasa lawatan tersebut, Baginda Sultan dijunjung menyaksikan penuaian udang dan melaksanakan aktiviti pelepasan benih udang.
Selepas lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan berangkat ke rumah penerima Penggeranan Tanah-tanah LTS di Bawah Skim Penggeranan Tanah LTS iaitu Pengiran Mahmud bin Pengiran Bungsu dan Awang Nasrul Arwadi bin Haji Nekman.
Dari sana, Baginda berkenan berangkat ke rumah ketua Kampung Penabai dan dijunjung oleh Ketua Kampung Kuala Tutong, Mukim Pekan Tutong, Awang Mohammad Sofiyuddin bin Mohammad Serudin.
Di akhir lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan berangkat ke Pusat Kegiatan Warga Emas, Pekan Tutong, Mukim Pekan Tutong di mana Baginda dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohammad.
Majlis diakhiri dengan keberangkatan Baginda Sultan ke Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong bagi majlis santap tengah hari.
Penggeranan Tanah LTS dan penyerahan anak-anak kunci rumah di bawah RPN jelas mencerminkan sikap keprihatinan dan pemedulian Baginda Sultan kepada rakyat dan penduduk di negara ini, secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita Baginda khususnya dalam memastikan kualiti kehidupan sentiasa terjamin dan sekali gus mencapai ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.