Oleh Normazlina M.D, Pg Fairol RMF, Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani
TUTONG, 20 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi, berkenan mengurniakan anak-anak kunci rumah kepada seramai 601 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di helipad di Bukit Beruang telah dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.
Turut menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.
Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), Kampung Bukit Beruang, Tutong itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong, Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Haji Adnan dalam sembah alu-aluannya menjelaskan bahawa seramai 301 orang menerima rumah jenis kluster dan 53 orang menerima rumah jenis teres di bawah RPN Bukit Beruang bagi Daerah Tutong dan 247 orang pula menerima rumah jenis teres di bawah RPN Lumut dan Lorong Tengah Seria bagi Daerah Belait.
Beliau menyembahkan bahawa penganugerahan anak-anak kunci rumah tersebut jelas menggambarkan sifat pemedulian dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap kesejahteraan dan keselesaan rakyat Baginda dan dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat.
Beliau seterusnya menyeru para penerima anak kunci rumah akan sentiasa memelihara dan menjaga alam sekitar serta kebersihan agar Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam keadaan bersih, indah dan cantik.
Sejurus sembah alu-aluan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung oleh Menteri Pembangunan untuk menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong.
Sejak wujudnya RPN, dapat dilihat ia terus berkembang dan dinikmati oleh seluruh negara ini yang mana sehingga hari ini, lebih 28,000 buah rumah di bawah RPN dan STKRJ telah dibina di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 27,045 buah rumah telah dianugerahkan kepada penerima yang berkelayakan dan daripada jumlah itu lagi, seramai 1,943 orang merupakan pemohon yang berjaya mengikuti RPN bagi Daerah Tutong dan 6,334 orang pemohon bagi Daerah Belait.
Penganugerahan rumah-rumah berkenaan jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian Baginda Sultan kepada rakyat dan penduduk di negara ini dan secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita Baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mapan dimiliki selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.