Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Majlis Penutup Kursus Ibadat Haji dan Doa Selamat bagi bakal-bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Musim Haji Tahun 1438H/2017M telah diadakan Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Semasa menyampaikan ucapan di majlis itu, Yang Berhormat Pehin menyeru agar bakal-bakal jemaah haji memahami sepenuhnya segala perbuatan dan bacaan dalam melakukan sesuatu ibadat yang dilakukan sepanjang menunaikan ibadah fardu haji.
Para jemaah haji diharap untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada mutawwif atau pembimbing.
“Memang pembimbing kursus telah mengajarkan lafaz-lafaz niat dan bacaan-bacaan terutama bagi ibadat tawaf, sa’ie dan melontar jumrah, itu namanya bimbingan. Sama keadaannya dengan yang akan dialami semasa melakukannya nanti iaitu dengan ada pembimbing atau mutawwif yang membawa melakukan ibadat-ibadat tersebut di tempatnya,” ujar beliau.



Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, jika tidak dapat membaca seperti bacaan yang diajarkan, bacalah zikir-zikir ataupun ayat-ayat Al-Quran dan membanyakkan doa-doa.
Beliau berkata, dengan adanya kursus-kursus yang telah pun diadakan akan dapat dijadikan panduan agar para jemaah mendapat haji yang mabrur.
Namun kata beliau, ia perlu lagi ditambahi dengan bertanyakan kepada orang-orang yang sudah pernah menunaikan ibadat haji serta perlu dihalusi dengan merujuk kepada guru-guru agama dan imam yang berpengalaman.
Di samping itu, tambah Yang Berhormat Pehin, baik juga ditambahi dan dihalusi dengan membaca buku panduan yang diberi selain dengan mengingati bimbingan yang disiarkan menerusi radio dan televisyen yang dimuat serta diedarkan menerusi media sosial.
“Kerana itulah sejauh ini jemaah haji kita mendapat pujian daripada pihak-pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah yang tertib berdisiplin, tertib beribadat, tidak menimbulkan sebarang gelurat sesama jemaah sendiri dan kepada jemaah-jemaah yang lain.”
Manakala Pemangku Pengarah Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohaamad dalam ucapannya pula menjelaskan, kursus ibadah haji berkenaan telah pun bermula pada 16 April lalu dan berakhir pada 21 Mei yang diadakan setiap hari Jumaat dan Ahad di kesemua daerah.
Majlis penutup anjuran Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu bertujuan untuk memberikan kata-kata nasihat agar bakal jemaah haji sentiasa bersifat sabar, menjaga imej negara, berkongsi pengelaman dan meningkatkan penghayatan dalam mengerjakan ibadat haji.
Di samping itu untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan para bakal jemaah haji serta memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T supaya para bakal jemaah haji akan sentiasa dalam perlindungan Allah S.W.T.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit; Kuasausaha Sementara Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, Saad Salih M. Baeshen; Pemangku Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid; Pemangku Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU (Bahagian Pentadbiran dan Kewangan), Awang Roslan bin Haji Taja’ah, pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.
Majlis itu diteruskan lagi dengan sesi soal jawab mengenai Manasik Haji dan Pengurusan Haji serta diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Penolong Pegawai Ugama, Jabatan Urusan Haji, Haji Zailani bin Haji Bungsu.