Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus Induksi ASEAN-ERAT labuh tirai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Kursus Induksi Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) merupakan program yang memiliki skop yang komprehensif di mana ia memastikan para peserta meliputi pelbagai bidang termasuk teori, praktikal dan bidang teknikal seperti koordinasi, logistik, pengurusan maklumat dan kepimpinan.

    Bidang-bidang yang diketengahkan itu merupakan aspek-aspek yang penting dalam memberikan respons kepada bencana dan menyediakan bantuan kemanusiaan.

    Di samping itu, kursus berkenaan turut mengandungi modul mengenai kaedah berinteraksi dengan pihak media di mana dalam zaman digital dan media sosial, ia merupakan aspek yang penting, Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Ajman bin Haji Meludin menekankan ketika berucap semasa Majlis Penutup Kursus Induksi ASEAN-ERAT Ke-11 yang berlangsung di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Beliau juga menyatakan bahawa isu-isu yang diketengahkan sepanjang kursus berkenaan memastikan bahawa para peserta mempunyai asas kemahiran dan ilmu pengetahuan yang kukuh yang diperlukan untuk berjaya dalam melaksanakan matlamat serta sasaran bagi sebarang penugasan ASEAN-ERAT di masa akan datang.

    Beliau turut berharap menerusi kursus berkenaan, para peserta berpeluang untuk merasai sendiri cabaran dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka bersama-sama dengan kumpulan seramai 274 orang lagi ahli ASEAN-ERAT yang terdahulu khususnya di rantau Asia Tenggara.

    Turut hadir semasa majlis penutup itu ialah Pemangku Penolong Pengarah, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Brunei Darussalam (NDMC), Awang Abdul Rahim bin Haji Ismail; Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA), Arnel Capili; para pegawai kanan kerajaan dan wakil-wakil agensi serta orga-nisasi berkepentingan dari dalam dan luar negara.

    Arnel Capili menerima cenderahati yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
    Antara yang menghadiri Majlis Penutup Kursus Induksi ASEAN-ERAT Ke-11 yang diadakan di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

    Di majlis berkenaan, Awang Ajman turut menyempurnakan majlis penyampaian sijil pengiktirafan manakala jaket ASEAN-ERAT telah disampaikan oleh Arnel Capili kepada seramai 30 orang peserta kursus dari negara-negara anggota ASEAN termasuk lapan orang peserta dari Negara Brunei Darussalam.

    Kursus induksi ASEAN-ERAT diadakan selama lapan hari sehingga hari ini, sekali gus menandakan berakhirnya kursus kali ke-11 itu. ASEAN kini mempunyai seramai 304 orang ahli ASEAN-ERAT yang bersedia untuk bertindak balas terhadap bencana terutama di rantau ASEAN.

    Di majlis penutup itu, dua orang peserta selaku ahli ASEAN-ERAT telah berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai kursus yang merangkumi bidang teori, praktikal dan teknikal seperti koordinasi, logistik, pengurusan maklumat dan kepimpinan termasuk semua aspek penting dalam tindak balas kecemasan dan penyediaan bantuan kemanusiaan serta berurusan dengan media selaras dengan perkembangan era digital dan media sosial yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

    Para peserta kursus telah berjaya melaksanakan latihan simulasi selama 48 jam yang bertempat di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di mana para peserta berhadapan dengan senario-senario kejadian dan situasi bencana yang telah dibentuk bagi menguji kemahiran dan daya tahan mereka dalam menangani sebarang kecemasan atau kejadian bencana.

    Pasukan ASEAN-ERAT terdiri daripada individu yang berpengalaman dan terlatih dalam menangani kejadian bencana di rantau ASEAN serta ia ditubuhkan oleh Jawatankuasa ASEAN bagi Pengurusan Bencana (ACDM) yang terdiri daripada ketua organisasi pengurusan bencana kebangsaan di 10 buah negara anggota ASEAN.

    ASEAN-ERAT dikendalikan oleh Pusat AHA yang berfungsi sebagai hub penyelarasan untuk menggerakkan sumber ke kawasan-kawasan yang terjejas oleh kejadian bencana di rantau ini. Kursus Induksi Pasukan ASEAN-ERAT Ke-11 dianjurkan bersama oleh NDMC dan Pusat AHA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda