Kursus kemahiran mampu jana sumber pendapatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Brunei dan Muara dan Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan Majlis Perundingan Kampung Panchor, Mengkubau, baru-baru ini, telah melancarkan Kursus Kemahiran Teknologi Rekaan Fesyen (Program Prihatin V) tahun 2020.

Pelancaran program pada 17 Julai lalu telah disempurnakan oleh wakil peribadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin iaitu Setiausaha Tetap (Pengurusan, Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

Turut hadir ialah timbalan setiausaha tetap (kebeliaan dan kesukanan) di KKBS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPB, program berkenaan melibatkan 20 orang peserta dan dijalankan setiap Jumaat dan Isnin, bermula 17 Julai lalu dan akan berakhir pada 2 Oktober depan.

Kursus-kursus yang diadakan di Bengkel Kursus Teknologi Rekaan Fesyen, PPB itu diajarkan oleh tenaga pengajar dari PPB. Ia antara lain bertujuan untuk memberi peluang ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu dari keluarga yang kurang berkemampuan memperolehi kemahiran dan memanfaatkan kemahiran tersebut dalam mendapatkan sumber pendapatan serta untuk menyuntik semangat mereka supaya mereka boleh berdikari dalam menyara kehidupan berkeluarga.

Majlis pelancaran juga diselajurkan dengan menyaksikan pameran daripada tiga orang lepasan pelatih PPB iaitu Awang Hazwan bin Suaini (pelatih sesi Januari 2018) pemilik Gentleman Stitch by Hazwan Suaini, Dayang Nurhamizah binti Haji Mohd Efenddy merupakan pelatih sesi Julai 2018 serta seorang pelatih sesi Januari 2020 iaitu Dayang Noorsarleenah binti Sakawi.

Pengiran Haji Mohd Hasnan dan timbalan setiausaha tetap (kebeliaan dan kesukanan) semasa menyaksikan pameran lepasan pelatih PPB. – Gambar serahan PPB