Kursus ‘Learn! Korean with BTS’ diperkenalkan

Big Hit Entertainment, agensi pengurusan kumpulan BTS, hari ini mengumumkan pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Korea (KF) dan University Pengajian Antarabangsa Hankuk (HUFS) menghasilkan kursus berbahasa Korea jarak jauh, menampilkan sensasi K-pop.

Melalui kerjasama itu, KF akan membuka kursus pembelajaran jarak jauh bertemakan BTS ‘Learn! Korean with BTS’ di beberapa universiti luar negara di Amerika Syarikat (AS), Perancis, Mesir dan Vietnam mulai musim gugur, lapor agensi berita Yonhap.

Kursus ini dihasilkan berdasarkan kebanyakan klip vlog sebelum ini seperti ‘Run BTS’ di Naver VLive. Dihasilkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Kandungan Korea HUFS.

Institusi pengajian tinggi pertama yang akan menawarkan kursus itu antaranya Middlebury College di AS, Ecole Normale Superieure dan EDHEC Business School of France, Universiti Ain Shams di Mesir dan Universiti Bahasa & Pengajian Antarabangsa Vietnam dan Universiti Thang Long.

Big Hit Edu, anak syarikat Big Hit, telah mengeluarkan video percubaan ‘Learn! Korean with BTS’ di Weverse, platform komuniti perdagangan, sejak Mac. Pakej buku teks untuk kursus itu akan dikeluarkan pada 24 Ogos.

“Sesuatu yang menggembirakan untuk melihat universiti luar negara memilih ‘Learn! Korean with BTS’ sebagai bahan pengajaran,” kata Pengurus Besar Big Hit Edu, Choi Yeong-nam. – Bernama