Kursus Maktab Turus ABDB ke-7 bermula

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-7 bermula hari ini dengan majlis perasmiannya di Akademi Pertahanan ABDB, Tanah Jambu.

Perasmian kursus telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah pemangku timbalan pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, pemangku timbalan pengarah operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan juga pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pengarah, komandan, pegawai dan anggota Akademi Pertahanan ABDB.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih ketika memberikan ucapan alu-aluannya di majlis perasmian kursus berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih ketika memberikan ucapan alu-aluannya di majlis perasmian kursus berkenaan.
Pemerintah ABDB bergambar ramai bersama peserta-peserta kursus.
Pemerintah ABDB bergambar ramai bersama peserta-peserta kursus.

Kursus tersebut disertai oleh pegawai-pegawai dari ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei dan JKDN serta pegawai-pegawai luar negara dari Australia, Bangladesh, China, India, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Oman, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

Berlangsung selama 40 minggu, kursus yang dikendalikan dengan kerjasama Universiti Massey New Zealand itu bertujuan untuk meluaskan pengetahuan profesional dan akademik para pegawai, mempertingkatkan kemahiran arahan, analisis dan komunikasi pegawai-pegawai peringkat pertengahan bagi mempersiapkan mereka untuk jawatan-jawatan pemerintah dan staf yang lebih tinggi.