Kursus marsyal bomba dedah kepentingan keselamatan kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Seramai 47 orang pegawai dan kakitangan dari agensi kerajaan dan swasta telah mengikuti kursus marsyal bomba selama tiga hari, 12 hingga 14 Oktober lalu, yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Landasan Lama Berakas.

Para peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Jabatan Kehakiman Negara, Brunei Investment Agency, Bengkel Kereta Berakas Sdn Bhd, Royal Brunei Sdn Bhd dan GoldMyne Hardware Sdn Bhd.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, sepanjang kursus dijalankan, para peserta telah didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal dengan mempelajari akan sebab dan punca berlakunya kebakaran, mengetahui akan tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik serta menjalani praktikal bagi tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dengan cara yang betul dan tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam bangunan bila berlakunya kebakaran.

Mereka juga berkesempatan untuk membuat lawatan ke Unit Operasi Wanita untuk mengetahui lebih dekat akan fungsi dan peranan sebagai ahli bomba wanita serta diberikan peluang melihat perkakas-perkakas dan peralatan bomba.

JBP juga menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Keselamatan Kebakaran, Kursus Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Manakala itu, jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai boleh menghu-bungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Para peserta kursus bergambar ramai ketika mengadakan lawatan ke Unit Operasi Wanita. – Gambar serahan JBP