BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah mengendalikan Kursus Teknologi Pemprosesan dan Kawalan Kualiti Produk Berasaskan Surimi dari 23 hingga 26 Januari lalu.
Kursus yang diadakan di Bangunan Pemprosesan Ikan Muara, Jabatan Perikanan itu disertai oleh para peserta yang terdiri daripada ahli majlis perundingan kampung serta syarikat-syarikat yang berkecimpung dalam pemprosesan makanan laut.
Kursus dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Myscape Management Sdn Bhd, anak syarikat MARDI Malaysia itu diadakan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran asas teknologi pemprosesan makanan laut dan kawalan kualiti dalam menghasilkan produk berasaskan surimi.
Dalam kursus berkenaan, para peserta didedahkan dengan aspek kawalan kualiti ke atas bahan mentah, kebersihan, pembungkusan, pelabelan produk, susun atur dan reka bentuk kilang mengikut keperluan piawaian amalan perkilangan baik (GMP) dan bagaimana membuat cadangan perniagaan termasuk analisa ekonomi.
Kursus ini adalah di bawah projek pertubuhan Pusat Kemajuan Perikanan ASEAN (SEADEC) iaitu ‘RTC- Enhancing Coastal Community Resilience for Sustainable Livelihood and Coastal Resources Management’.


Projek yang dibiayai oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) dianjurkan khusus untuk negara-negara ahli yang mana majoriti penduduknya beragama Islam seperti Indonesia, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
Projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi kaum nelayan melalui industri perikanan dan membantu mereka menggunakan sumber secara mapan supaya dapat meneruskan aktiviti perikanan sebagai mata pencarian.
Sebelum ini, beberapa program latihan telah diadakan di bawah projek ini seperti latihan penyelenggaraan enjin sangkut Yamaha yang telah diadakan dari 9 hingga 11 Januari dan latihan menyelenggara dan membaiki pukat dari 16 hingga 17 Januari lalu.
Sementara itu beberapa program latihan yang bersesuaian akan dikendalikan di bawah projek ini dalam masa terdekat.