Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 28hb April – Pusat Dakwah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Dakwah (Kursus) telah mengadakan Majlis Penutup Dan Penyampaian Sijil Kursus Ta’lim Bagi Daerah Temburong pada pagi ini di Unit Dakwah Daerah Temburong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kursus Ta’lim Bagi Persatuan Daerah Temburong telah diadakan sebanyak dua sesi iaitu Himpunan Bimbingan Sembahyang pada 25 Febuari hingga 28 Febuari 2019 lalu dan Fiqh Al-Munakahat pada 22 April hingga 25 April, seramai 32 orang dari Persatuan Wanita Daerah Temburong telah mengikuti kursus tersebut.
Antara objektif kursus ini adalah untuk membantu meningkatkan ajaran Islam kepada Persatuan Wanita di Negara Brunei Darussalam, memberi kefahaman tentang ajaran Islam dengan lebih sempurna dan memberikan kesedaran agar dapat diterapkan dan dihayati mengikut ajaran Islam.
Tenaga Pengajar sepanjang kursus dijalankan ialah Dayang Norilham Nizah Ayu binti Haji Mohd Zahari dari Bahagian Penyebaran (Kursus).
Kursus ini diharap akan dapat meningkatkan kefahaman, pengetahuan yang sedia ada, supaya ia dapat dipraktikkan dalam kehidupan dan menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
