Kursus tingkat ilmu keusahawanan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Shell LiveWIRE Brunei telah melakar satu lagi pencapaian terbaiknya apabila seramai 52 orang peserta berjaya menamatkan kursus bengkel Become A Successful Owner Manager (BSOM), baru-baru ini.

Bengkel yang dilaksanakan secara maya selama tiga hari bermula dari 27 hingga 29 September lalu itu dipimpin oleh Penasihat Perniagaan Shell LiveWIRE – Rangkaian Perniagaan dan Projek, Dayang Aziemah Daud. Seramai sembilan orang penceramah dijemput untuk berkongsi pandangan untuk memperluaskan lagi pengetahuan keusahawanan kepada para peserta yang terlibat.

Salah seorang penceramah bengkel dari Darussalam Assets, Awang Hafiz Haslen menyatakan bahawa sesi interaktif dengan para peserta menjadikan pengalaman itu menyeronokkan di mana para peserta datang dari pelbagai latar belakang dan industri, masing-masing dengan visi dan pemikiran sendiri.

BSOM dianjurkan bagi para peserta yang berkeinginan untuk memajukan diri sekali gus mampu mencetus idea-idea bernas dalam meniti bidang perniagaan yang sebenar yang menjadi salah satu inisiatif pihak Shell LiveWIRE Brunei demi menyokong usaha negara secara berterusan dalam mempelbagaikan ekonomi.

Bengkel ini merangkumi empat bidang utama iaitu keusahawanan, kewangan, inovasi dan peluang keusahawanan termasuk penjenamaan dan pemasaran produk. Di samping itu, bengkel tersebut juga dihasratkan mendorong penyertaan aktif golongan usahawan tanah air demi sama-sama berjuang meningkatkan perkembangan PKS.

Bengkel BSOM seterusnya akan diadakan pada bulan Disember. Bagi mengetahui maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang livewirebrunei.com/bsom atau menghantar emel ke [email protected] atau Instagram @livewirebrunei / @shell.lwbn.

Antara peserta yang menghadiri bengkel Become A Successful Owner Manager anjuran Shell LiveWIRE baru-baru ini. – Gambar serahan LiveWIRE