Kursus tingkat kualiti pengadil tempatan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Presiden Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (NFABD) Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan menyatakan bahawa Kursus Pengadil MA 2020 membantu kumpulan pengadil negara untuk mendapat pengetahuan semasa berucap pada majlis penutup kursus tersebut di Dewan Serbaguna NFABD hari ini.

“Jika anda mempunyai pengetahuan, tidak ada masalah untuk bersaing dengan negara maju lain. Ini kerana mereka tidak melihat anda daripada saiz anda tetapi mereka akan melihat anda daripada apa yang anda tahu dan bagaimana anda memberikan pengetahuan anda,” jelas presiden dalam ucapannya.

“Jadi, inilah yang para pengajar cuba lakukan di sini untuk mengisi pengetahuan anda sebanyak mungkin. Tetapi pada masa yang sama, ia tidak berhenti di sini hari ini. Ia adalah perjalanan panjang,” tambahnya. Kemahiran yang disediakan oleh para pengajar dikongsi bersama kepada para peserta dan diharapkan akan dibawa kepada pengadil baharu.

Presiden juga menyentuh mengenai pentingnya mempunyai bilangan pengadil yang akan bertanggungjawab dalam Liga Super Brunei akan datang yang akan bermula pada 28 Februari. Beliau juga menggariskan rancangan NFABD untuk membina sebuah pusat teknikal. “Apabila kami membina sebuah pusat teknikal, akan ada ruang bagi jurulatih, pengadil dan lain-lain. Apabila pusat teknikal sudah mula beroperasi, ia adalah untuk anda menggunakannya, memaksimumkan dan mendapat manfaat daripadanya.

“Kursus yang bermula Jumaat lalu, keseluruhannya meliputi tiga sesi iaitu ujian teori, praktikal dan kecergasan.

Sementara itu, Pengajar Pengadil FIFA,Subkhiddin Mohd Salleh, menasihati para peserta untuk merebut peluang untuk meningkatkan kualiti mereka dalam bidang pengadil sama ada daripada aspek teknikal atau kecergasan.

Abdul Hakim Mohd Haidi, pengadil tempatan yang diiktiraf oleh FIFA, juga turut berkongsi pengalaman bersama rakan-rakannya. Kursus ini dianjurkan oleh NFABD melalui Jabatan Pengadil dan telah berjaya menarik 25 peserta.

Sesi bergambar ramai semasa majlis penutup Kursus Pengadil MA 2020. – Gambar oleh NFABD