Kursus tingkat pemahaman astrofiqh

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menganjurkan Kursus Latihan Astrofiqh Modul 1 yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kementerian kerajaan, orang persendirian dan warga UNISSA.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, kursus sehari yang berlangsung di kampus universiti berkenaan merupakan pengenalan kepada Astrofiqh dan Sistem Suria serta dikendalikan oleh Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PKSPH) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i (PPMS), UNISSA.

Fasilitator kursus berkenaan ialah Timbalan Pengarah PPMS, UNISSA, Profesor Madya Dr Ibnor Azli bin Ibrahim.

Kursus yang bertema ‘Angkasa apa kaitannya dengan kita?’ itu mengandungi perbincangan ringkas mengenai apa itu Astrofiqh dan apakah yang dibincangkan dalam ilmu ini.

Selain itu, perbincangan juga memberi fokus kepada sudut pandangan Akidah, Syariah dan Akhlak serta bukan kepada astronomi tulen di samping membincangkan kepentingan ilmu Astrofiqh dan ruang lingkup kajiannya supaya peserta memahami hala tuju ilmu berkenaan dan membuat perbandingan dengan ilmu astronomi.

Di samping itu, peserta juga didedahkan kepada pengetahuan tentang sistem suria sekadar untuk memudahkan para peserta untuk memahami isu-isu ibadah dan akidah yang bakal dibincangkan dalam modul-modul berikutnya.

Dengan adanya kursus seumpama ini, ia diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman para peserta mengenai isu-isu berkaitan astrofiqh seterusnya mengembangkan disiplin ilmu berkenaan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan akidah, ibadat dan kehidupan seharian.

Profesor Madya Dr Ibnor Azli semasa mengendalikan kursus berkenaan.
Antara peserta yang menghadiri kursus latihan astrofiqh yang berlangsung di kampus UNISSA.