Kurung anak, takut terkena koronavirus

STOCKHOLM, 2 SEPT – Tiga orang kanak-kanak di Sweden telah dikeluarkan dari rumah selepas ibu bapa kanak-kanak berkenaan mengurung mereka selama empat bulan kerana bimbang mereka akan dijangkiti koronavirus, menurut peguam kanak-kanak tersebut hari ini.

“Di antara bulan Mac dan awal bulan Julai, kanak-kanak tersebut, yang berusia 10 hingga 17 tahun, bersama keluarganya telah melarang mereka dari meninggalkan pangsapuri mereka,” peguam, Mikael Svegfors memberitahu AFP.

Kanak-kanak itu tidak dibenarkan untuk berjumpa sesama mereka, dikurung di dalam bilik masing-masing dan hanya makan di dalam bilik, kata pentadbiran mahkamah Jonkoping di selatan Sweden.

Pintu rumah turut ‘dipaku’ agar tiada sesiapa pun yang dapat keluar, menurut mahkamah.

Ibu bapa mereka menafikan telah mengurung anak-anak mereka tanpa kemahuan mereka dan merancang untuk membuat rayuan atas pertuduhan tersebut, radio tempatan melaporkan.

Tidak seperti kebanyakan negara lain di Eropah, Sweden tidak memberi sekatan perintah berkurung yang ketat dan membenarkan sekolah-sekolah untuk dibuka bagi kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah.

Negara Scandinavian itu mencatat kematian tertinggi di dunia akibat wabak pandemik COVID-19 berbanding penduduk, dengan 575 kematian dalam satu juta.

Ibu bapa tersebut ‘berasal dari bahagian lain di dunia’ dan tidak fasih berbahasa Sweden, kata peguam Svegfors.

‘Mereka tidak begitu memahami berita di sini. Mereka mengikuti berita internet dari negara kelahiran mereka’ yang mengenakan sekatan yang lebih ketat. – AFP