Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kushner guna e-mel peribadi bagi urusan Rumah Putih

    WASHINGTON, 25 Sept – Jared Kushner menggunakan akaun e-mel peribadi untuk berhubung dengan para penolong Rumah Putih ketika dia menjadi penasihat kanan bagi bapa mertuanya, Presiden AS, Donald Trump, menurut laporan.

    Sebagai seorang calon, Trump sering kali membidas saingannya Hillary Clinton dari parti Demokrat, berhubung penggunaan server e-mel persendirian oleh Clinton ketika dia menjadi setiausaha negara, dengan memberitahu para penyokong ‘Clinton perlu dipenjara’, berhubung perkara itu.

    Ekoran siasatan, FBI menyarankan tidak ada dakwaan dibuat ke atas Clinton, tetapi menyatakan Clinton ‘terlalu cuai’ dalam cara dia mengendalikan maklumat sensitif.

    Dengan merujuk empat orang pegawai, Politico berkata Kushner telah menggunakan server persendirian untuk menghantar mesej kepada para pegawai kanan Rumah Putih dan penasihat-penasihat luar berhubung liputan media, merancang acara dan isu-isu lain.

    Tidak ada pernyataan bahawa e-mel itu mengandungi maklumat paling sensitif atau sangat sulit, tambahnya, tetapi mungkin terlibat dalam Akta Rekod Presiden yang memerlukan semua dokumen berkaitan kegiatan politik dan peribadi presiden di arkibkan.

    Gambar fail 12 September 2017 menunjukkan Jared Kushner ketika mendengar Presiden Donald Trump bercakap semasa mesyuarat di Rumah Putih, Washington. – AP

    Beberapa tanggung jawab Kushner dalam pentadbiran Trump termasuklah menjadi pihak pengantara perdamaian dalam konflik Israel-Palestin.

    Abbe Lowell, peguam Kushner, mengesahkan laporan itu dalam satu kenyataan kepada media.

    “Kurang 100 e-mel dari Januari hingga Ogos sama ada telah dihantar atau dibalas oleh Kushner kepada rakan-rakan sekerja di Rumah Putih dari akaun e-mel peribadinya,” ujarnya lagi.

    “Ini lazimnya artikel-artikel berita atau komentar politik yang dihantar dan paling kerap berlaku apabila seseorang membuat pertukaran dengan menghantar e-mel ke akaun peribadi dan bukannya dalam Rumah Putih. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda