Kutip dana bagi badan amal

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah mengadakan Hari Kesedaran Kanser Payudara dan kutipan dana amal dalam kalangan kakitangannya di Kampus RB, hari ini.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang acara berkenaan termasuk jualan kek dan lelongan amal yang mengetengahkan makanan pencuci mulut merah jambu melambangkan warna bagi kesedaran kanser payudara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan RB, 100 peratus hasil daripada jualan dan lelongan pada acara itu akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) dan Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG).

Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah ahli Lembaga YASKA, Dayang Siti Zaleha binti Abdul Manaf dan Presiden BBCSG, Hajah Aminah binti Haji Momin

Turut diadakan semasa acara itu ialah pemeriksaan kanser payudara oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC) yang dibukakan kepada semua kakitangan wanita RB.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Martin Aeberli dipetik sebagai berkata, “Kami gembira menganjurkan hari kesedaran kanser payudara hari ini kerana kesihatan orang kami adalah antara keutamaan kami di RB.

“Sepanjang Oktober ini, pasukan kami juga menganjurkan program-program kecergasan setiap Jumaat selepas waktu bekerja untuk penyertaan semua kakitangan,” ujar beliau sambil menambah, dana yang dikumpulkan semasa acara itu adalah cara mereka memberi balik kepada masyarakat atas sokongan berterusan kepada syarikat pengangkutan kebangsaan berkenaan.

Kakitangan RB bergambar ramai dengan wakil dari Yayasan Kanser Kanak-kanak, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei dan JPMC semasa aktiviti tersebut.- Gambar serahan RB