Kutipan Tabung Bantuan COVID-19 hampir $1 juta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Jumlah terkini sumbangan dalam Tabung Bantuan COVID-19 iaitu sumbangan yang berada dalam akaun adalah sebanyak $674,081.10.

Manakala itu, terdapat lagi cek berjumlah $303,000 yang menanti untuk dimasukkan ke dalam akaun tabung dan dengan itu, ia akan menjadikan jumlah sumbangan bagi tabung berkenaan sebanyak $977,081.10, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, mengulas jika sumbangan daripada tabung berkenaan dapat digunakan bagi pembiayaan tambahan kepada Pusat Pengasingan Kebangsaan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa pada masa ini, ketetapan mengenai perkara itu masih belum dibuat.

“Kita perlu melihat pada keperluan dan juga jumlah yang berjaya dikutip. Selepas itu, kami akan memikirkan bagaimana ia akan dapat diperuntukkan kerana kami perlu memastikan bahawa ia diperuntukkan pada perbelanjaan yang dapat pertimbangkan,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa dana dalam tabung berkenaan merupakan sumbangan orang ramai dan perlu dipastikan bahawa ia digunakan bagi keperluan yang dapat dilihat seperti pembinaan Bangunan Tambahan Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi Tabung Bantuan COVID-19 tahun lalu.

Beliau berkata bahawa kos pembinaan bangunan berkenaan dapat dilihat dengan jelas dan akauntabiliti mereka kepada orang ramai dapat ditunjukkan.

Yang Berhormat Dato turut mengongsi bahawa perbelanjaan bagi 2021 untuk persediaan bagi menangani COVID-19 adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan 2020.

Setakat ini, perbelanjaan dalam persediaan dan menangani jangkitan COVID-19 sudah mencapai puluhan juta, ulasnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau menyampaikan penghargaan kepada orang ramai yang turut sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan dalam sama-sama menangani jangkitan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani