Kutipan zakat harta di Sabah meningkat

KOTA KINABALU, 11 MEI – Jumlah kutipan zakat harta di Sabah pada tahun lepas meningkat kepada RM90.9 juta berbanding RM79.2 juta pada 2019, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Ramlan Awang Ali.

Beliau berkata peningkatan kutipan menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS itu adalah kerana tahap kesedaran untuk berzakat dalam kalangan umat Islam di Sabah semakin tinggi.

“Pada masa ini MUIS memfokuskan kepada (kutipan) zakat (secara) penggajian iaitu pembayaran zakat secara berjadual melalui kemudahan pembayaran yang disediakan oleh pihak MUIS.

“Dengan cara ini, mudah-mudahan rezeki itu dilancarkan dan pada masa sama dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini malam tadi.

Sementara itu, Ramlan berkata untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, MUIS berjaya mengutip zakat berjumlah lebih RM33.7 juta, tidak termasuk zakat fitrah yang disasarkan sebanyak RM11 juta tahun ini berbanding RM10.2 juta tahun lepas. – Bernama