Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Brunei menyaksikan peningkatan dalam jumlah orang Islam yang membayar Zakat pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Zakat Fitrah menyaksikan peningkatan sebanyak 0.65 peratus, yang mana sejumlah $937,478.56 dikutip pada 2016 daripada 332,582 orang Muslim di negara ini berbanding $931,638.97 daripada 330,976 orang pada 2015.
Sementara itu, kutipan Zakat Harta pula meningkat sebanyak 3.35 peratus kepada $17,413,561.32 tahun lalu daripada $16,830,149.77 pada 2015.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bagaimanapun berkata, berdasarkan perangkaan MUIB, jumlah pembayar Zakat Harta telah menurun sebanyak 8.4 peratus kepada 4,625 pada 2016 daripada 5,014 orang pada tahun sebelumnya.
Beliau yang juga Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) berkata, demikian semasa Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Amil di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.



Menurut Yang Berhormat Pehin, bagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang, seramai 8,299 orang yang kurang berkemampuan, merangkumi 2,794 ketua keluarga dan 5,505 orang tanggungan akan menerima agihan zakat.
Setiap ketua keluarga akan menerima $100 dan setiap tanggungan menerima $50 daripada Zakat Fitrah, selain itu, ketua keluarga akan menerima $500 dan tanggungan $300 daripada Zakat Harta.
Ini bermakna, setiap ketua keluarga akan menerima sejumlah $600 dan tanggungan $350 setiap seorang.
Sementara itu, bantuan zakat juga akan diberikan kepada seramai 3,507 orang saudara baru, yang terdiri daripada 2,924 ketua keluarga dan 583 tanggungan. Setiap ketua keluarga akan menerima $50 daripada Zakat Fitrah dan $500 daripada Zakat Harta, sementara $50 (Zakat Fitrah) dan $350 (Zakat Harta) bagi setiap tanggungan.
Di samping itu, wang zakat yang diagihkan sebelum permulaan penggal persekolahan baru setiap tahun juga dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin turut menggesa semua amil untuk melaksanakan penuh tanggungjawab mereka kerana pengutipan zakat adalah tugas suci dan akan menerima ganjaran di akhirat kelak.
Jika ia tidak dilaksanakan dengan sejujurnya, mereka akan menerima hukuman kini dan di akhirat kelak.
Beliau turut menasihatkan Majlis Ugama Islam yang menguruskan wang zakat supaya sentiasa berwaspada dalam memastikan bahawa amil melaksanakan dan mematuhi peraturan pentadbiran.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB; Pemangku Setiausaha Tetap, Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Roslan bin Haji Taja’ah, para pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai KHEU.
Mengeluarkan zakat adalah salah satu Rukun Islam dan kewajipan bagi semua Muslim, sama ada lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa, selagi mereka mampu untuk melaksanakannya.
Sejak penguatkuasaan Akta Zakat pada 1969, MUIB telah melantik pegawai-pegawai masjid, imam, bilal, ketua kampung, guru-guru agama dan kakitangan beruniform dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pegawai-pegawai kerajaan lain sebagai amil.
Tahun ini, seramai 323 orang amil telah dilantik untuk mengutip zakat daripada 141 kawasan di seluruh negara dengan Daerah Brunei dan Muara mempunyai 190 orang amil bagi 80 kawasan; Daerah Belait seramai 25 amil bagi 15 kawasan, Daerah Tutong seramai 49 amil bagi 29 kawasan; dan Daerah Temburong seramai 23 orang amil bagi 13 kawasan. Di MUIB, seramai 36 orang amil telah dilantik bagi meliputi empat kawasan.
Pengutipan dan pembayaran zakat di lakukan di masjid-masjid, surau, balai ibadat, rumah ketua-ketua kampung yang dilantik sebagai amil, pejabat bagi pengagihan dan pengutipan zakat di Jabatan Majlis Ugama Islam dan cawangan-cawangan bagi pengutipan dan pengagihan zakat di Pejabat Hal Ehwal Ugama di Daerah Tutong, Belait dan Temburong.