Kutleri mesra alam untuk gaya hidup mapan

Bagi Garima Shrestha, menjalani gaya hidup mampan dan mesra alam bukan kegiatan bersifat sementara.

Ia adalah gaya hidup yang dipilihnya untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap alam semula jadi. Menurutnya, di rumah dia tidak mempunyai masalah mengikuti gaya hidupnya, tetapi di luar, keadaan boleh menjadi agak sukar, lebih-lebih lagi apabila dia perlu makan di restoran.

Dan itulah sebabnya dia memutuskan untuk membeli kutleri mesra alam dari Eco Sathi Nepal, sebuah syarikat yang menjual produk mesra alam, supaya dia tidak perlu menggunakan apa-apa yang dibuat daripada plastik walaupun semasa keluar, katanya.

“Selepas saya membeli kutleri tersebut, saya rasa lebih bertanggungjawab kerana saya boleh membawanya dan menggunakannya apabila saya keluar,” kata Shrestha, pengasas SHE, pertubuhan mesra alam yang menyokong kebersihan alam sekitar.

Untuk golongan yang prihatin terhadap alam sekitar seperti Garima, yang ingin menjalani kehidupan yang lebih mampan dan mesra alam, kebanyakan jenama Nepal dalam beberapa tahun ini telah mengeluarkan produk mesra alam.

B2B Hospitality mengeluarkan kutleri tanpa plastik dan pembungkus kertas. – ANN/Kathmandu Post
Kutleri mesra alam dibuat daripada buluh keluaran Eco Sathi Nepal. – ANN/Kathmandu Post

Namun syarikat berkenaan bukan sekadar berharap menawarkan kutleri mesra alam di pasaran untuk pengguna individu, mereka juga berharap dapat memperluas pasaran mereka dan menjual produk berkenaan kepada restoran, untuk menjadikan pengalaman makan di luar lebih mesra alam.

Di antara beberapa syarikat yang berminat dalam bidang ini adalah Eco Sathi Nepal, perusahaan baharu yang selain menjual kutleri mesra alam, yang dibuat daripada buluh, juga menawarkan produk harian mesra alam lain.

Bekerja sebagai doktor pergigian dan penyokong alam sekitar, Manu Karki memulakan Eco Sathi Nepal pada 2019. “Sebagai seseorang yang berusaha menjalani gaya hidup mampan, adalah amat sukar bagi saya untuk mendapatkan produk mesra alam berkualiti di Nepal yang boleh saya gunakan,” kata Karki. “Dan dari sanalah tercetusnya idea menubuhkan sebuah syarikat untuk menawarkan produk mesra alam untuk orang sepertinya.

Sementara Karki memulakan perniagaannya dengan menjual berus buluh, di sebalik fikirannya, dia sentiasa ingin memperkenalkan kutleri mesra alam di pasaran Kathmandu. “Setiap hari di kantin, saya tidak selesa menggunakan kutleri plastik. Kutleri plastik bukan sahaja menjejas alam sekitar tetapi juga kepada kesihatan awam, memandangkan terdapatnya bahan kimia dalam plastik yang secara langsung memasuki mulut kami apabila kami makan,” kata Karki.

Selain kutleri buluh, Karki juga membeli produk dari Vietnam untuk dijual di sini, kerana produk yang didapati di sini tidak cukup mampan.

“Respons daripada pelanggan kami untuk kutleri mesra alam adalah amat memberangsangkan,” kata Karki.

Sementara usaha Eco Sathi Nepal untuk menjadikan pengalaman makan lebih mesra alam menyasarkan golongan yang ingin menggunakan kutleri tanpa plastik, Prateek Agrawal, menerusi syarikatnya B2B Hospitality Nepal, sedang mengatasi isu pembakaran pembungkus plastik dengan menawarkan pembungkus kertas di pasaran Nepal untuk perniagaan hospitaliti dan restoran di negara itu.

Dua tahun lalu, syarikatnya memperkenalkan straw kertas di pasaran Nepal, namun Agrawal sedar ia hanya titik permulaan untuk mengatasi isu kemampanan dalam perniagaan hospitaliti dan restoran di Kathmandu. Dan masa itulah dia memutuskan untuk mengemukakan pembungkusan kertas yang akan menjadi satu alternatif di pasaran.

Menerusi syarikatnya, Agrawal menawarkan pembungkus kertas kepada restoran dan perniagaan hospitaliti. Dia juga merancang mempelbagaikan produknya dengan menceburi perniagaan runcit di mana mereka telah menerima hak pengedaran dari Detpak, syarikat antarabangsa yang mengkhusus dalam pembungkusan kertas dan kadbod. Bagaimanapun, apa yang menjadikan produknya unik adalah keupayaannya menampung cecair, yang tidak dapat dilakukan oleh kebanyakan pembungkus kertas.

“Kami tinggal di sebuah negara yang suka memakan kari. Bagaimanapun pembungkus kertas yang ada tidak dapat menampung cecair, di mana makanan akan tumpah, mendorong kebanyakan orang menggunakan pembungkus plastik. Itulah sebabnya kami memperkenalkan pembungkus kertas yang boleh menampung cecair,” kata Agrawal.

Mengikut tradisi, kebanyakan komuniti di Nepal telah menggunakan duna, taparis dan botas, pinggan yang dibuat daripada daun pokok Sal untuk membungkus makanan. Sekarang, beberapa restoran malah gerai tepi jalan telah mula menggunakan daun berkenaan untuk menghidangkan makanan. Sementara produk sedemikian adalah mesra alam dan boleh menjadikan pengalaman makan lebih menyeronokkan, penggunaannya belum menerima sambutan menggalakkan, disebabkan ia tidak dapat digunakan untuk menyajikan makanan dalam bentuk ceciar.

Untuk mengisi jurang ini dan mewujudkan pasaran untuk pinggan daun terbiodegradasi, pada 2016, Kobit Singh Baniya bersama tiga anggota pasukannya, melancarkan inisiatif untuk mengeluarkan pinggan yang dibuat daripada pokok areca di bawah syarikat Leaf Plus.

“Walaupun pada mulanya kami mahu mengeluarkan pinggan yang dibuat daripada pokok Sal, kami mendapati ia sukar kerana pinggan tidak tahan bahan cecair dan sinka, digunakan untuk menampung pinggan, mungkin menimbulkan masalah tambahan kepada pelanggan,” kata Baniya.

Memandangkan pokok Supari boleh didapati dengan banyak di kawasan Terai, terutamanya di Jhapa, Sunsari dan Morang, mencari bahan baharu tidak sukar. Bagaimanapun, dasar ketat dan risiko memperkenalkan produk baharu di pasaran menimbulkan cabaran untuk perusahaan. Namun selepas empat tahun bekerja keras, usaha mereka semakin diterima memandangkan mereka menjual 18 jenis produk berlainan yang termasuk pinggan, mangkuk dan sudu ke pelbagai restoran dan gedung membeli-belah di Nepal dan luar negara, seperti di Jerman, Jepun, Australia dan UK.

“Memandangkan produk kami adalah terbiodegradasi, kalis air, boleh tahan ketuhar dan peti sejuk, permin-taan untuk produk kami telah meningkat yang turut disokong oleh peningkatan kesedaran alam sekitar di kalangan penduduk awam,” kata Baniya.

Bagi perusahaan, keadaan pasti semakin senang sekarang, kerana lebih ramai orang menunjukkan minat untuk menjadikan gaya hidup mereka mampan dan mesra alam.

Walau bagaimanapun produk mesra alam lebih mahal daripada produk plastik dan kebanyakan orang serta perniagaan teragak-agak untuk beralih kepada produk mesra alam.

Namun menurut perusahaan, jika awda melihat pada gambaran lebih besar, produk mereka tidak mahal kerana produk mereka boleh digunakan semula dan agak tahan.

“Jika awda menganalisisnya daripada perspektif lebih besar, produk kami tidak mahal. Misalnya, jika menggunakan pinggan seramik, awda juga perlu menambah kos pekerja, kos air. Selain itu juga timbulnya risiko pinggan pecah kerana rapuh berbanding pinggan kami,” kata Baniya. – ANN/Kathmandu Post