Saturday, November 2, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuwait, Qatar meterai perjanjian bekalan LNG 15 tahun

    KUWAIT CITY, 27 OGOS – Kuwait Petroleum Corporation (KPC) kelmarin mengumumkan perjanjian 15 tahun dengan QatarEnergy untuk membekalkan gas asli cecair (LNG) sebanyak tiga juta tan setahun dari Qatar, namun kos perjanjian tersebut tidak didedahkan.

    Ketua Pegawai Eksekutif KPC, Sheikh Nawaf Saud Al-Sabah berkata perjanjian jangka panjang itu mengesahkan kerjasama erat antara Kuwait dan Qatar dalam sektor tenaga.

    “Perjanjian kedua jangka panjang dengan QatarEnergy ini mengukuhkan hubungan kerjasama kami yang telah lama terjalin,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sheikh Nawaf turut menambah bahawa perjanjian itu akan membantu menyediakan sumber tenaga yang lebih bersih, selaras dengan strategi jangka panjang Kuwait untuk peralihan tenaga.

    Kuwait sebelum ini telah memeterai perjanjian serupa dengan QatarEnergy pada tahun 2020.

    Sejak pertengahan Jun, semasa musim panas yang terik, Kuwait yang kaya dengan minyak telah melaksanakan catuan tenaga di beberapa kawasan kediaman dan perindustrian untuk mengurangkan penggunaan elektrik yang meningkat.

    Menurut KPC, penghantaran LNG ke kilang penapisan Al-Zour dijangka bermula pada tahun 2025, sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

    Menteri Tenaga Qatar, Saad al-Kaabi, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif QatarEnergy, menyatakan bahawa perkongsian jangka panjang baharu berkenaan adalah penting dalam menyokong matlamat kelestarian Kuwait, khususnya dalam sektor penghasilan elektrik. – AFP

    Saad Sherida al-Kaabi hadir pada sesi Forum Ekonomi Qatar di Doha pada 15 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda