DOHA, 19 Feb – Petra Kvitova berjaya menundukkan bintang tenis Sepanyol Garbine Muguruza dengan menjuarai Terbuka Qatar semalam, satu kemenangan yang membawanya kembali ke kedudukan 10 teratas dunia.
Tewas pada set pertama, Kvitova bangkit semula untuk meraih kemenangannya dengan keputusan 3-6, 6-3, 6-4.
Ini kali pertama Kvitova berada di kedudukan elit sejak dia berhadapan dengan insiden serangan ngeri menggunakan pisau di kediamannya pada Disember 2016 yang menyebabkan dia mengalami kecederaan tangan.
“Saya berasa hebat, ia adalah trofi yang cantik.
“Ia mengambil sedikit masa untuk mendapatkannya. Hari ini, ia perlawanan yang hebat,” kata Kvitova.
Apabila ditanya mengenai kepulangannya semula ke kelompok 10 terbaik, dia berkata “Saya masih ingat tahun lalu di mana saya ditanya soalan ini, saya tidak mampu untuk bermimpi mengenainya.”
“Perasaannya sangat istimewa untuk kembali. Ia sesuatu yang menakjubkan.”
Apabila ditanya sekiranya dia berasa lebih istimewa kerana kemunculannya, dia menambah: “Ia sesuatu yang istimewa, saya tidak boleh berharap untuk meminta lebih.”
Kemenangannya di Doha merupakan kemenangan Kvitova kali kedua pada musim ini dan kejuaraan kali ke-22 di sepanjang kerjayanya.
Ia juga melanjutkan deretan kemenangannya kepada 13 perlawanan berturut-turut dan hanya kurang satu kemenangan untuk menyamai rekod terbaik peribadinya. – AFP