Kvitova ‘keberatan’ beraksi tanpa peminat

PRAGUE, 26 MEI – Pemenang Wimbledon dua kali Petra Kvitova berkata semalam beliau memilih Grand Slam tidak diadakan berbanding bermain di sebalik pintu tertutup disebabkan pandemik koronavirus.

Bercakap sehari sebelum kepulangan ke gelanggang dalam kejohanan seluruh Czech, pemain berusia 30 tahun itu mengulang pendapat Roger Federer, yang berkata pada minggu lalu bahawa beliau menentang idea gelanggang Roland Garros atau Flushing Meadows yang kosong tanpa penonton.

“Usia saya telah meningkat dan sudah tentunya saya ingin bermain dalam satu lagi kejohanan Grand Slam, tetapi jika keadaan adalah seperti ini, saya rela ia dibatalkan,” kata Kvitova.

“Bermain dalam kejohanan Grand Slam merupakan perkara paling hebat dan bermain tanpa peminat yang merupakan enjin kami tidak membawa makna bagi saya dan Grand Slam tidak layak diadakan tanpa mereka,” tambah beliau.

Kejohanan Terbuka Perancis tahun ini telah dipindahkan ke September, Wimbledon telah dibatalkan dan jelajah WTA tidak akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya 20 Julai disebabkan wabak COVID-19.

Pertandingan pada minggu ini di Prague mempunyai lapan lelaki dan lapan wanita dalam perlawanan berasingan tetapi tidak adanya penonton atau berjabat tangan. – AFP

Petra Kvitova ketika menghadiri sidang media sehari sebelum Piala Presiden Persatuan Tenis Czech di Prague pada 25 Mei. – AFP