Kvitova tarik diri Billie Jean King Cup

PRAGUE, 20 SEPT – Juara dua kali Wimbledon, Petra Kvitova mengatakan semalam bahawa dia tidak akan beraksi di final Billie Jean King Cup pada bulan November ini kerana dia memerlukan rehat.

Kejohanan Piala Fed yang dijenamakan semula akan diadakan di gelanggang keras tertutup di Arena O2 di Prague pada 1 hingga 6 November setelah ibu negara Czech menggantikan Budapest sebagai bandar tuan rumah awal tahun ini.

“Saya telah memberitahu kapten pasukan bahawa saya tidak akan bermain. Saya akan bermain dua atau tiga kejohanan pada musim ini dan kemudian saya perlu berehat,” kata pemain berusia 31 tahun dari Czech itu.

“Tahun ini penat dari segi fizikal dan mental, saya mengalami banyak kecederaan dan badan saya tidak dapat bertahan lagi,” tambah pemain nombor 10 dunia itu.

“Sudah tentu, keputusan ini tidak mudah, tetapi saya harus memikirkan diri saya, saya bukan muda,” kata Kvitova. – AFP