Kwon Mina tutup IG kali kedua selepas dikecam

Bekas ahli kumpulan AOA, Kwon Mina kembali menjadi perbualan hangat warganet apabila didapati merokok di dalam bilik sebuah hotel.

Menurut laporan Kpopstarz, Mina dilihat memegang rokok ketika memuat naik foto bersama teman lelakinya di laman Instagram pada 6 September lalu.

Foto itu menjadi pendebatan ramai kerana Mina merokok di kawasan larangan yang tidak dibenarkan.

Hasil carian warganet mendapati foto itu dirakam di sebuah hotel di Yongsan-gu, Seoul di mana bilik yang digunakan Mina merupakan kawasan larangan merokok.

Malah ada warganet menghubungi pengurusan hotel dan melaporkan mengenai salah laku penyanyi berusia 27 tahun itu.

Tidak berdiam diri, Mina menjawab komen seorang pengikut dengan memberitahu dia merokok di kawasan yang dibenarkan.

Selepas dikecam teruk, Mina menutup akaun Instagram miliknya.

Ini merupakan kali kedua Mina menutup sementara laman sosial kerana dikritik hebat warganet. – Agensi

Kwon Mina didapati merokok di dalam bilik sebuah hotel dan menerima kecaman teruk oleh warganet. – Agensi