Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kyiv hantar 45 bas, pindah orang awam dari Mariupol

    KYIV, UKRAINE, 31 MAC – Kerajaan Ukraine menghantar 45 bas hari ini untuk memindahkan orang awam dari bandar Mariupol yang terkepung, di mana kementerian pertahanan Rusia telah mengumumkan gencatan senjata tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Iryna Vereshchuk.

    “Malam ini, kami menerima mesej daripada jawatankuasa Persatuan Palang Merah Antarabangsa bahawa persekutuan Rusia mengesahkan kesediaannya untuk membuka akses bagi konvoi kemanusiaan ke bandar Mariupol dengan transit melalui bandar Berdiansk,” katanya dalam video yang disiarkan di Telegram.

    “Kami menghantar 45 bas ke koridor Mariupol.”

    Sebanyak 17 bas telah pun bertolak ke Mariupol dari Zaporizhzhia, sekitar 220 kilometer ke barat laut, katanya.

    Manakala, 28 lagi sedang menunggu kebenaran untuk melepasi pusat pemeriksaan Rusia di Vasylivka, berhampiran Zaporizhzhia.

    “Kami akan melakukan segala yang mungkin untuk memastikan bas tiba di Mariupol hari ini dan mengambil orang yang masih belum dapat keluar dari bandar tersebut,” kata Vereschuk.

    Setakat ini, dengan perjanjian mengenai pemindahan berpusat tidak dihormati, orang awam hanya dapat meninggalkan Mariupol dengan kereta mereka sendiri, yang sangat berbahaya.

    Bandar pelabuhan selatan yang strategik itu telah dikepung dan dibedil oleh tentera Rusia sejak akhir Februari.

    Orang ramai yang telah berjaya melarikan diri dan ONG telah menyifatkan keadaan di sana sebagai malapetaka, dengan orang awam terkurung di bilik bawah tanah, kekurangan air, makanan dan komunikasi serta dengan mayat berselerak di jalanan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...