Kyojins juara liga mini bola baling Brunei

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Pasukan Kyojins dinobatkan sebagai juara dalam kategori remaja lelaki dari Liga Mini Persekutuan Bola Baling Brunei (BHF) (Siri 1) 2021 setelah meraih kemenangan 10-9 ke atas Pasukan Armada di final yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah hari ini.

Kedua-dua pasukan telah mempamerkan permainan yang baik dan perlawanan hampir berakhir seri, namun seorang pemain Kyojins berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan.

Awang Abdul Waliyulhakim bin Saiful Rizal memainkan peranan penting dalam perlawanan final tersebut untuk memberi kemenangan kepada Pasukan Kyojins setelah menjaringkan tujuh gol dengan Yoshua Roni B Render, Martin bin Juin dan Muaz Abdul Fattah bin Haji Azman masing-masing menjaringkan satu gol.

Manakala, Khoo Soon Ming berjaya menjaringkan empat gol buat Pasukan Armada dengan Azri bin Zainal Arfan, Muhammad Brazil bin Masri dan Mohamad Naqib Nukman bin Mohamad Azren turut menjaringkan gol.

Sementara itu, Pasukan Ranger muncul juara dalam kategori remaja wanita selepas memenangi perlawanan akhir 6-4 menentang Pasukan Power.

Awang Kifli semasa menyampaikan trofi kepada salah seorang pemenang Liga Mini Persekutuan Bola Baling Brunei (Siri 1) 2021.

Trio Mark Phyryn @ Airyn Mark Edy, Faiqah Solehah binti Haji Aznan dan Nur Fadzillah binti Mulyadi masing-masing menjaringkan dua gol untuk Pasukan Ranger melakar kemenangan.

Nur Effatul Ameerah binti Suzaini menjaringkan tiga gol sementara Nur Hafizzah binti Matassan menjaringkan satu gol untuk Pasukan Power.

Awang Abdul Waliyulhakim berjaya meraih anugerah penjaring terbanyak dalam kategori remaja lelaki sementara Dayang Faiqah Solehah menerima anugerah penjaring terbanyak bagi kategori remaja perempuan.

Selain itu, Awang Mohammad Asyraf Hamidin menerima anugerah pemain terbaik dalam kategori remaja lelaki manakala Dayang Nur Fadzillah memenangi anugerah pemain terbaik dalam kategori remaja perempuan.

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Presiden BHF, Awang Kifli bin Haji Jaafar.